Pelawak dan pelakon, Atu Zero meluahkan rasa bangga terhadap dua orang abangnya iaitu Syaiful dan Sharif yang berani menonjolkan bakat nyanyian mereka dengan menyertai rancangan hiburan Famili Duo 2023 (FD3).
Artikel Berkaitan: Famili Duo 3: Teka Teki Terjawab! Sharif & Syaiful Zero Jadi Peserta Ke-6
Abang-abang memang pandai menyanyi
Ketika ditemui OhBulan!, Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif berkata kedua orang abangnya itu sememangnya mempunyai bakat dalam nyanyian sejak mereka kecil lagi.
Suara saya tak sedap tetapi bergantung kepada lagu apa yang saya nyanyikan.
Kalau abang-abang saya pula apa yang mereka lakukan ini adalah satu sisi lain mereka yang tidak pernah dilihat orang.
Mereka berdua memang boleh menyanyi sebab mereka budak-budak nasyid waktu zaman sekolah dulu. Saya ni main kompang saja biasalah orang suara sumbang ni main kompang sahaja.
Atu berkongsi perkata tersebut ketika ditemui pada sidang media Tepok Bulu 2023: Malaysia vs Indonesia yang diadakan di Suka Sucre, Hotel Maya pada petang Jumaat.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai peluang buat Syaiful dan Sharif untuk merangkul gelaran juara FD3? Pelawak berusia 31 tahun ini berpendapat banyak perkara yang perlu dipelajari oleh kedua abangnya itu.
Saya rasa ini merupakan ilmu yang baharu buat mereka dan kalau nak dibandingkan dari segi vokal mungkin saya tak berapa yakin.
Sebab seperti yang kita tahu mereka bertanding dengan penyanyi yang hebat seperti Adira, Shila Amzah dan juga Haqiem Rusli dan semua itu pernah masuk Anugerah Juara Lagu (AJL). Dorang tu anugerah apa saja yang dorang dapat?
Sementara itu, pelakon filem ‘Sumpahan Malam Raya’ tersebut memaklumkan bahawa mereka tiga beradik sudah lama merancang untuk menghasilkan lagu single pertama mereka di bawah nama Zero.
Tambah Atu, adalah satu bonus sekiranya kedua abangnya itu berjaya merangkul gelaran juara yang mana ia sedikit sebanyak dapat membantu merealisasikan impian mereka.
Sebenarnya kami tiga orang ni ada plan nak buat lagu dengan nama Zero. Lagu tu dah ada cuma komposer yang masih belum ada.
Jadi saya berharap mereka berdua menang FD3 ni. Tak dapat nombor satu pun tak apa. Janji menang, janji ada duit. Bila ada duit, duit diorang tu boleh digunakan untuk buat lagu.
Sekadar makluman, Atu akan bersama-sama Datuk Fazley Yaakon, Atita Haris dan Imran Aqil mewakili Malaysia bagi pertandingan Tepok Bulu 2023 yang akan berlangsung di Istora Gelora Bung Karno pada 17 November ini.
Bukan itu sahaja, Tepok Bulu 2023 juga akan menampilkan Deddy Mahendra Desta, Icuk Sugiarto, Greysia Polii dan Noh Salleh sebagai pengulas.