Setiap ibu bapa pasti mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak-anak untuk berpuasa di bulan Ramadan. Begitu juga dengan pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya.
Artikel berkaitan: Kopi Jadi Penyatuan Cinta Dengan Scha Alyahya, Awal Ashaari Buka Kedai Sendiri
Artikel berkaitan: Netizen Kecam ‘Warna’ Rambut Lepas Balik Umrah, Awal Ashaari Tak Melatah
Artikel berkaitan: Awal Ashaari Kongsi Pengalaman Bercuti Tanpa Pengasuh – ‘Bukan Merungut Tapi Rasa Lebih Dekat Dengan Anak’
Ganjaran bercuti ke Jepun
Ketika ditemui Oh Bulan!, Awal berkata, cara dia dan isteri mendidik anak sulungnya Lara Alana, melaksanakan rukun Islam ketiga itu adalah dengan menjanjikan ganjaran untuk bawa bercuti ke Jepun sekiranya berjaya berpuasa penuh.
Saya dan isteri sebenarnya kami telah umpan dia (Lara) dengan beritahu kalau berjaya puasa penuh, kami akan bawa dia ke Jepun. Sebabnya dia suka Mario, jadinya kami rancang untuk bawa dia berjalan ke Mario World di Osaka, Jepun.
Kebetulan pun, memang rancang lepas hari raya nanti nak bercuti ke Jepun. Jadi alang-alang gunakan itu untuk umpan dia. Tapi kadang-kadang dia risau juga, sebab dia ada tanya kalau puasa tak penuh masih boleh ke pergi Jepun ke? Kami jawab, boleh sahaja.
Bagaimanapun jelas Awal atau nama lengkapnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, dia tetap menekankan kepada anak sulungnya itu bahawa puasa adalah satu kewajipan sebagai seorang muslim.
Walaupun ada janjikan ganjaran, tetapi kami tetap berpesan pada dia yang puasa ini adalah kewajipan, kami ajar dia secara perlahan-lahan. Tidak memaksa pun, kalau dia tidak larat tidak mengapa. Proses belajar dan mendidik diri.
Awal berkata demikian ketika dia dan isteri ditemui pada Majlis Astro Screening 2023 yang diadakan di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Scha gembira Lara puasa penuh
Dalam pada itu, Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 39, dia berkongsi rasa gembira apabila sehingga Ramadan ke-16, Lara yang kini berusia sembilan tahun berjaya berpuasa penuh.
Kalau tahun lalu, Lara puasa macam setengah hari sahaja, tapi alhamdulillah tahun ini dia berpuasa penuh. Kami nampak dia lebih bersedia dan relaks, malah tenaga dia juga banyak, pergi tuisyen, nampak improvement.
Saya bangga dengan dia dalam masa risau juga, kot-kot belakang kami dia buat apa-apa kan (makan dan minum). Ada masa, dia merungut juga kata penat, dia tanya sampai bila kena berpuasa. So, kami banyak buat aktiviti dan buat dia lupa dengan rasa lapar dan penat.
Untuk rekod, Awal dan Scha telah mendirikan rumahtangga pada Mei 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Lara Alana, 9, dan Lyla Amina, 2.