berita

Bantuan Kemanusiaan COVID-19, Media Prima Beli 2 Mesin Ventilator Untuk Hospital Shah Alam

March 28th, 2020 | by Wan
Kini Trending

Media Prima Berhad telah pun membeli kelengkapan perubatan dan barangan penting kegunaan tiga buah hospital hasil sumbangan orang ramai kepada Bantuan Kemanusiaan COVID-19, Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (MPNHF).

Serah mesin ventilator

Sumbangan masyarakat kepada inisiatif yang telah dilancarkan pada 23 Mac 2020 telah digunakan untuk membeli kelengkapan perubatan dan barangan-barangan penting untuk Hospital Shah Alam, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh. Ini termasuk pembelian dan penyerahan dua buah mesin ventilator untuk Hospital Shah Alam, pembekalan bahan-bahan bagi pembuatan pelindung muka buatan sendiri (DIY) untuk kakitangan barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur dan bekalan makanan untuk kakitangan barisan hadapan dan perubatan di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur. 

Ventilator pertama telah diserahkan kepada Hospital Shah Alam pada Jumaat dan ventilator kedua dijangka akan diserahkan pada minggu hadapan. Pembelian kedua-dua ventilator ini berjaya dilaksanakan melalui Medik-Link Sales and Services Sdn. Bhd., syarikat pembekal yang berdaftar dengan hospital berkenaan, yang akan memasang dan menyelenggara mesin tersebut mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. 

Bantuan diagih

Bahan-bahan DIY untuk pelindung muka pula telah diserahkan oleh pihak Lulu Hypermarket and Department Store Kuala Lumpur kepada Hospital Kuala Lumpur pada 25 Mac 2020. Penghantaran itu adalah untuk pemasangan 2,000 pelindung muka pakai buang DIY yang diperlukan segera untuk perlindungan pekerja barisan hadapan hospital tersebut. 

Sementara itu, bekalan makanan untuk pekerja barisan hadapan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh sedang dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini sehingga minggu hadapan. Pembekalan makanan dan bahan-bahan DIY untuk pembuatan pelindung muka untuk kedua-dua hospital ini dikendalikan oleh pembekal berdaftar Media Prima, Lulu Hypermarket and Department Store Kuala Lumpur. 

Rayu sumbangan masyarakat

Datuk (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Kumpulan Media Prima, berkata pengagihan sumbangan orang ramai untuk hospital-hospital dengan kadar segera amatlah penting untuk memastikan pekerja barisan hadapan ini mendapat bantuan yang sangat diperlukan. 

Krisis COVID-19 telah menjejaskan kehidupan ramai rakyat Malaysia dan kita mestilah bersatu dalam memerangi wabak ini. Kami merayu sokongan dan sumbangan segera orang ramai kepada dana tersebut. Kami akan terus berhubung dengan lebih banyak hospital di seluruh negara dalam mengenalpasti keperluan segera dan kritikal mereka

Orang ramai boleh menyumbang ke tabung ini melalui cek, perbankan dalam talian atau deposit kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (MAYBANK: 5141-0532-3170). Para penderma boleh emel slip transaksi bank dan menulis COVID-19 kepada [email protected] untuk pengeluaran resit pengecualian cukai. 

Semua cek boleh dibayar (payable) kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menulis ‘COVID-19’ di belakang cek tersebut. Sila alamatkan cek tersebut kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad, Tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur. 

SKIP THIS AD ×