Korang perasan tak, banyak je perdebatan mengenai minyak kelapa sawit ni sama ada ianya baik atau tidak untuk kesihatan kita?
Maklumlah ramai yang salah anggap tentang manfaat kesihatan minyak sawit, antaranya ialah minyak sawit hanya terdiri daripada lemak tepu, justeru mempunyai kesan buruk kepada kesihatan manusia.
Haaa…hari ni min nak kongsi kan sesuatu yang bermanfaat untuk korang semua mengenai minyak kelapa sawit ni. Confirm lepas ni korang terus guna minyak kelapa sawit ni.
Minyak kelapa sawit baik untuk kita!
Kalau korang nak tahu, minyak sawit mempunyai nisbah asid lemak yang seimbang tau. Ia terdiri daripada 50% lemak tepu iaitu asid palmitik dan asid stearik manakala 50 % lemak tak tepu seperti asid oleik dan asid linoleik atau masing-masing dikenali sebagai asid lemak Omega-9 dan Omega-6.
Bukan setakat tu je, ia mengandungi banyak fitonutrien yang menyihatkan seperti tokotrienol vitamin E, provitamin A dikenali sebagai karotenoid, fitosterol, koenzim Q10 dan lain-lain lagi.
Ini semua merupakan antioksidan yang berkesan dan boleh membantu untuk mencegah penyakit. Hebat kan!
Berikut merupakan 3 manfaat penggunaan minyak kelapa sawit dalam masakan :
1. Pengganti Kepada Lemak Terhidrogen
Lemak terhidrogen atau lemak trans adalah lemak yang terhasil semasa proses penghidrogenan minyak terutamanya minyak yang tinggi dengan asid linoleik.
Lemak trans sememangnya diketahui mempunyai banyak keburukan kepada kesihatan seperti meningkatkan risiko penyakit jantung atau Alzheimer.
Sebab tulah, minyak sawit dapat dilihat sebagai pengganti kepada minyak atau lemak yang menyebabkan terhasilnya lemak trans ini.
Hal ini kerana minyak sawit adalah separa pepejal pada suhu bilik. Ini menjadinya sangat sesuai untuk digunakan sebagai pengganti kepada lemak terhidrogen dalam formulasi makanan.
2. Mengandungi Nutrien Yang Penting
Untuk makluman korang, minyak kepala sawit ini mengandungi banyak nutrien seperti,
- Vitamin E (tokoferol dan tokotrienol)
- Vitamin A (karotenoid)
- Fitosterol
- Coenzyme Q10 (CoQ10)
- Polifenol
- Fosfolipid
Nutrien-nutrien ini memainkan peranan penting terhadap kestabilan dan kualiti minyak sawit tersebut. Selain itu, ciri-ciri antioksidan nutrien-nutrien ini juga turut menyumbang kepada khasiat minyak sawit.
Jadi memang selamat kalau korang nak gunakan tau!
3. Tidak Meningkatkan Paras Kolestrol
Apa yang membuatkan minyak kelapa sawit ini istimewa ialah, kandungan vitamin E dalam minyak sawit ini boleh merendahkan paras kolesterol dalam darah. Macam tak percaya kan!
Satu kajian klinikal selama 8 minggu yang dijalankan terhadap pesakit yang menghidap kolesterol tinggi mendapati individu yang diberikan kapsul yang mengandungi minyak sawit ni mengalami penurunan yang ketara terhadap jumlah kolesterol dan paras gula dalam darah.
Minyak kepala sawit ini juga dilihat berpotensi untuk mencegah kanser sebab kandungan antioksidan yang tinggi dalam minyak tersebut.
Malaysia praktik Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO)
Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah dijalankan pada tahun 2016 secara sukarela kepada semua pemain industri kelapa sawit Malaysia.
Bagi menunjukkan komitmen terhadap pengeluaran minyak sawit mampan, pada Mei 2017, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan pelaksanaan mandatori MSPO bermula 1 Januari 2020.
Penggunaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2022 ini ialah sebagai skim pensijilan kebangsaan untuk ladang kelapa sawit, pekebun kecil dan fasiliti pemprosesan minyak sawit bagi menggantikan MSPO pertama yang diterbitkan pada 2013.
Versi pertama Standard MSPO (MS2530:2013) telah melalui proses semakan dari tahun 2019 hingga 2021 sebelum pelancaran rasmi Standard MSPO yang baharu (MS2530:2022) pada Mac 2022.
Antara kandungan (MS2530:2022) ialah :
- Bahagian 1 : Prinsip-prinsip Am
- Bahagian 2-1 : Prinsip Am untuk Pekebun Kecil Persendirian (kurang daripada 40.46 hektar)
- Bahagian 2-2 : Prinsip Am untuk Pekebun Kecil Tersusun (kurang daripada 40.46 hektar)
- Bahagian 3-1 : Prinsip Am untuk Perladangan Sawit (40.46 hektar ke 500 hektar)
- Bahagian 3-2 : Prinsip Am untuk Perladangan Sawit (lebih daripada 500 hektar)
- Bahagian 4-1 : Prinsip Am untuk Kilang Minyak Sawit termasuk Keperluan Rantaian Bekalan
- Bahagian 4-2 : Prinsip Am untuk Kemudahan Pemprosesan Minyak Sawit termasuk Keperluan Rantaian Bekalan
- Bahagian 4-3 : Prinsip Am untuk Peniaga termasuk Keperluan Rantaian Bekalan
Kepentingan untuk semua pihak!
Standard MSPO 2022 telah melalui beberapa penambahbaikan dari semasa ke semasa untuk memberi kepentingan kepada semua pihak untuk mengukuhkan lagi keperluan alam sekitar, sosial, dan ekonomi agar selaras dengan norma kemapanan global.
Hal ini juga, mengambil kira perubahan dalam keperluan kemampanan global dan mempertimbangkan kebolehgunaan terhadap industri minyak sawit Malaysia.
Dah ada sijil baru lah yakin nak guna!
Selain keperluan pensijilan untuk pekebun kecil, ladang dan kilang, Standard MSPO 2022 kini termasuk keperluan untuk kemudahan pemprosesan dan peniaga untuk disahkan dan sebahagian daripada kebolehjejakan MSPO.
Ia mengambil kira kepada perubahan dalam keperluan kemampanan global dan telah dipertimbangkan kebolehgunaannya kepada industri minyak sawit di Malaysia.
Keperluan seperti Matlamat Pembangunan Mampan United Nations (UN SDGs) telah dipertimbangkan dan dimasukkan ke dalam keperluan MSPO juga.
Nak tau tak sebab apa ia dilaksanakan? Haaa…ianya adalah untuk menjaga alam sekitar dan sosial agar tetap terpelihara.
Pada tarikh akhir 31 Disember 2019, MSPO telah menghalang semua industri sawit untuk penukaran hutan asli, kawasan perlindungan dan kawasan HCV kepada penanaman kelapa sawit.
Bukan apa, ianya adalah untuk menjaga kelestarian alam sekitar supaya tidak diceroboh atau disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Standard MSPO 2022 ini juga mengutamakan rujukan buruh paksa ILO dan melarang sebarang bentuk diskriminasi dalam semua sektor industri minyak sawit.
Keperluan sosial lain yang diperkukuhkan ialah larangan buruh kanak-kanak, pengenalan keadaan hidup yang baik dan mengelakkan pekerjaan tiga penjuru (triangular employment).
Malaysia akan meneruskan sasaran ke arah pelaksanaan penuh pensijilan MSPO sebagai badan bertanggungjawab dalam menguruskan Pensijilan MSPO untuk terus menjalankan aktiviti-aktiviti promosi di pasaran import mengenai faedah minyak sawit yang diperakui MSPO.
Sentiasa berpegang teguh kepada prinsip yang ditetapkan!
Min yakin yang “Malaysian Palm Oil Certification” (MPOCC) akan terus mengukuhkan prinsip-prinsip dan kriteria Standard MSPO sebagai langkah amalan baik bertaraf antarabangsa.
Antara 5 prinsip MSPO adalah :
- Komitmen dan tanggungjawab pengurusan
- Ketelusan
- Pematuhan terhadap kehendak undang-undang dan keperluan lain
- Tanggungjawab terhadap suasana sosial, kesihatan, keselamatan dan pekerjaan
- Penjagaan alam sekitar, sumber asli, biodiversiti dan ekosistem
Korang nak tahu sesuatu tak? Kini lebih dari sebanyak 85% daripada ladang kelapa sawit di negara kita telah pun memiliki MSPO yang dikeluarkan Jabatan Standards Malaysia. Wow!
Pensijilan MSPO itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memastikan pengurusan ladang kelapa sawit dan produk kelapa sawit tempatan menepati piawaian dunia
Untuk maklumat lanjut korang bolah layari laman web rasmi MSPO. Katakan YA kepada minyak kelapa sawit!