Seorang bayi berusia dua bulan, Qaseh Aulia Faizul meninggal dunia didakwa kerana sikap cuai pengasuh di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya.
Artikel Berkaitan: Pengasuh Taska Dakwa Dikasari Bapa Budak, Buat Laporan Polis
Artikel Berkaitan: Bapa Tak Sanggup Lihat CCTV Anak Didera Pengasuh Taska, Dipukul Berkali-Kali Ketika Makan
Polis tahan pengasuh
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya telah menahan pengasuh wanita berusia 40-an namun dibebaskan dengan jaminan.
Sementara itu, bapa saudara kanak-kanak perempuan tersebut, Hafizi Rosli berkata abang iparnya menerima panggilan telefon daripada pemilik taska berkenaan kira-kira jam 11 pagi Selasa.
Difahamkan keadaan Aulia pada ketika itu tidak sedarkan diri dengan wajah kebiruan sebelum dibawa ke klinik.
Abang ipar meminta pemilik taska segera menghantar anaknya ke hospital swasta di Kota Damansara sebelum dia dan kakak bergegas ke hospital itu.
Bagaimanapun, sebaik tiba mereka terkejut apabila diberitahu Aulia disahkan meninggal dunia dan mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.
Menurut Hafizi, ibu bapa kanak-kanak tersebut terkejut ketika melihat kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan Aulia ditinggalkan tanpa pengawasan selama sejam dalam keadaan tertiarap.
Dengan keadaan dibedung, pastinya Aulia tidak selesa dan mungkin menjadi punca sukar bernafas. Aulia dilihat berusaha untuk menggerakkan kepala selama kira-kira 10 minit.
Namun selepas itu dilihat pergerakannya sangat minimum dan akhirnya tiada lagi pergerakan dan kami mengandaikan pada ketika itu, Aulia tidak lagi bernyawa.
Kes kemudian disiasat di bawah Seskyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 manakala pihak polis ketika ini sedang menunggu hasil keputusan bedah siasat.
Sumber: Harian Metro & Instagram Hafizi Rosli