Pelakon, Linda Hashim, 39, mendedahkan dia sudah pun bercerai dengan suaminya yang juga merupakan pelakon, Beego, 43, pada 27 Mac yang lalu.
Namun, mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk rujuk semula ketika dalam tempoh edah pada 9 April yang lalu.
Artikel Berkaitan: Ada Lagi Pasangan Selebriti Hadir Ke Mahkamah Untuk Bercerai?
Bukan angkara penyondol
Memetik laporan Harian Metro, Linda mendedahkan bahawa perceraian itu berlaku disebabkan tiadanya persefahaman selain kurang berkomunikasi di antara kedua-dua pelakon tersebut.
Perceraian kami bukan disebabkan oleh penyondol (orang ketiga). Begitu juga, bukan kerana masalah kewangan sebagaimana dihadapi pasangan lain.
Macam yang saya katakan, kami memang berhadapan masalah persefahaman dalam komunikasi. Ia berpunca, mungkin kerana banyak perkara yang masing-masing pendam di dalam hati sebelum ini.
Dalam pada itu, Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah menyatakan bahawa masalah serta konflik yang berlaku dalam rumah tangga mereka adalah asam garam dalam perhubungan yang dirasai setiap pasangan suami dan isteri berkahwin.
Saya percaya, setiap pasangan yang berkahwin itu akan berhadapan ujian-ujiannya. Lima tahun awal (berkahwin) diuji dengan persefahaman dan untuk 10 tahun perkahwinan pula diuji perkara lain.
Apapun, saya bersyukur kami boleh berbaik semula dalam tempoh yang singkat dan dapat menyelamatkan rumah tangga ini semula demi perasaan kami dan anak-anak.
Beego juga mengakui dia sedikit terkejut masalah rumah tangga serta kisah penceraiannya dengan isteri diketahui media meskipun tidak berkongsikan mengenai kisah kehidupan mereka di media sosial.
Saya terkejut kedatangan kami ke mahkamah pagi ini diketahui media. Ini kerana, saya berusaha menyembunyikan kisah rumah tangga kami kerana melihat ramai pasangan selebriti kini berhadapan masalah rumah tangga.
Difahamkan, Linda hadir bersama Beego di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Untuk info, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 9, Anggun Cassandra, 8, dan Indah Camelia, 4.
Sebelum ini, tersebar luar mengenai berita seorang pelakon wanita yang dikatakan hadir ke Mahkamah Syariah bagi menyelesaikan konflik rumah tangganya namun, identiti pelakon berkenaan tidak didedahkan.
Sumber: Harian Metro