Kredit foto: MalaysiaGazette
Seorang bekas ratu cantik berusia 29 tahun sebelum ini dipercayai telah bertindak menumbuk anggota polis dan merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Persekutuan telah ditahan. Difahamkan kejadian sekitar 3.00 pagi itu memperlihatkan wanita berkenaan dalam keadaan mabuk dan bertindak di luar kawalan.
Artikel berkaitan: Dipercayai Mabuk, Bekas Ratu Cantik Tumbuk Anggota Polis Ketika SJR
Terbaharu, memetik laporan Harian Metro, bekas ratu cantik itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan mengaku tidak bersalah atas dakwaan berkenaan.
Berdepan dua pertuduhan
Sumber foto: BH Online
Bekas ratu cantik yang dikenali sebagai Kohinoor Damodaran Kaittiani berdepan dengan dua pertuduhan didakwa menumbuk anggota polis semasa di SJR dan mengambil dadah di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya. Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia dituduh menggunakan kekerasan bagi menakutkan anggota polis dengan menumbuk Koperal Sharularifin Sarmadan pada 8 Julai lalu. Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau denda.
Mohon rayuan
Kredit foto: MalaysiaGazette
Manakala, bagi pertuduhan kedua ialah menggunakan dadah jenis Tetrahydrocannabinol pada tarikh yang sama. Kesalahan ini memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda dan pengawasan tidak lebih tiga tahun.
Bekas ratu cantik itu memohon rayuan diberikan ikat jamin atas alasan perniagaan restoran miliknya terpaksa ditutup disebabkan pandemik Covid-19. Susulan itu, pihak mahkamah telah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan yang disebutkan tadi. Kes ini akan dibicarakan semula pada 6 Oktober nanti.
Sumber: Harian Metro