berita

‘Beliau Tidak Melepaskan Bantal Arwah Adik Amir, Malah Diciumnya Berkali-Kali’

February 1st, 2021 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Berita kematian seorang kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Zubaidi Amir Qusyairi, ternyata meruntun hati seluruh rakyat Malaysia sehingga ke hari ini. Amir yang dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya itu ditemui lemas di dalam sebuah tong air. Beberapa kesan kecederaan turut ditemui di badan anak kecil itu.

Artikel Berkaitan : ‘Pemergian Amir Beri Kesan Kepada Seluruh Ahli Keluarga Saya’ – Ibu Angkat

Artikel Berkaitan : ‘Binatang Punya Mak!’ – Netizen Serang FB Ibu Kandung Arwah Amir

Artikel berkaitan: [VIDEO] ‘Ibu Kandung Mu Lebih Berhak Ke Atas Mu, Selamat Tinggal Amir’

Di Facebook, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Datuk Seri Rina Mohd Harun, sempat menziarah ibu angkat Amir iaitu Puan Norlida Abu Hassan. Pelbagai kisah kesantunan dan kebaikan arwah telah dikongsikan oleh ibu angkatnya sepanjang enam tahun mereka bersama.

Hanya tinggal kenangan

Foto: Rina Harun

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kehadiran saya disambut dengan titisan air mata yang masih belum mengering, hati luluh yang belum terubat, rasa rindu yang masih terbuku, terhadap arwah adik Zubaidi Amir Qusyairi yang telah pergi buat selama-lamanya. Begitulah tergambarnya kasih seorang wanita bernama Puan Norlida Abu Hassan yang teramat menyayangi anak jagaannya. Kemuliaan dan keikhlasan kasih Puan Norlida pada arwah adik Amir sebagai anak manja di bawah jagaannya lebih dari nyawanya sendiri, meskipun arwah bukan lahir dari titik darah kandungannya.

Perasan sayu, sebak dan hiba menyelubungi hati saya sepanjang bersama Puan Norlida. Sepanjang pertemuan ini, beliau tidak melepaskan bantal yang digunakan oleh arwah adik Amir sewaktu tidur dalam dakapannya, malah diciumnya berkali-kali sebagai pengubat rindu. Itulah jua bantal yang dikatakan mengiringi pemergian Puan Norlida Ke Tanah Suci Mekah sewaktu mengerjakan ibadah Umrah, apabila diminta oleh arwah sendiri untuk Puan Norlida yang dipanggil “Umi” agar membawa bantal tersebut sebagai pengganti dirinya di tanah suci.

Saya tidak dapat menahan sebak apabila mendengar kesantunan dan kebaikan arwah adik Amir yang tidak pernah memberontak dan meminta-minta pada “Umi” sepanjang usianya. Adapun kalau arwah meminta, hanyalah untuk memakan Putu Mayam yang menjadi makanan kegemarannya. Kini itu semua hanya satu kenangan.

Menurut Rina Harun, beliau turut merasai perasaan sebak dan hiba sepanjang menziarah keluarga angkat arwah Amir. Tambah beliau, ibu angkat Amir, tidak melepaskan bantal tidur anak angkatnya itu sewaktu mereka bertemu. Rina turut memaklumkan bahawa arwah seorang anak yang baik dan tidak pernah memberontak dan meminta-minta pada ibu angkatnya.

Sayangilah anak-anak

Untuk semua ibu bapa di luar sana, hargai dan sayangilah anak-anak kita yang merupakan anugerah paling berharga dari Allah SWT selama kita bertemu atas dunia ini. Yang telah pergi takkan kembali, maka gunalah peluang yang ada untuk memeluk anak-anak kita, tanda kasih yang tidak dapat dijual beli. Dalam menyelami kisah pilu ini, saya menyeru kepada masyarakat agar kita sama-sama membuka mata dan pintu hati untuk menghidupkan semangat “KitaJagaKita” agar lebih cakna, prihatin dan mengambil tahu apa yang berlaku dalam komuniti dan kejiranan kita. Santunilah kanak-kanak seperti anak-anak kita sendiri meskipun mereka bukan dari darah daging kita sendiri.

Dengan rasa kasih sayang dan keprihatinan yang tidak berbatas, saya harapkan kisah duka seperti ini tidak akan berulang lagi. Saya mendoakan semoga keadilan dapat ditegakkan buat Arwah adik Amir, dan semoga roh anak ini ditempatkan pada kedudukan yang mulia disisi Allah SWT. Kepada keluarga Puan Norlida Abu Hassan, saya doakan mereka tabah dan bersabar mendepani ujian ini. Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik dan curahan kasih sayang yang diberikan sepanjang riwayat arwah adik Amir selama ini. Al-Fatihah.

Tambah beliau, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengkaji secara menyeluruh Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara dengan menitikberatkan agar kanak-kanak bebas daripada segala perkara negatif melalui advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan. Di samping itu, pihak kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang membabitkan pencabulan hak dan kebajikan kanak-kanak. Tindakan tegas akan diambil kepada pesalah yang terbabit dengan penderaan dan salah laku terhadap kanak-kanak.

Sumber: Rina Harun & Harian Metro

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×