“Kau tak solat, tak mengaji sebab itulah dapat masalah kesihatan mental ni”
“Cuba kau dekat kan diri dengan Tuhan, mesti tak akan jadi macam ni”
Sering kali kita dengar ayat-ayat begini dikeluarkan dari mulut seseorang buat individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.
Adakah benar apa yang diperkatakan itu? Jika benar adakah sesuai ungkapan itu dikeluarkan? Tidak kah ia akan menambah lagi rasa terkilan buat mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental ini?
Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober lalu, OHBULAN! telah melancarkan satu kempen iaitu Besties, Pape Roger!
Untuk edisi kali ini, kami akan membincangkan mengenai topik ‘Konsep Penyakit Mental Dari Sudut Atau Perspektif Islam Dan Cara Mengatasinya’
Artikel Berkaitan: #BestiesPapeRoger- Penyakit Mental Bukan “Gila”
Artikel Berkaitan: #BestiesPapeRoger: Rawat ADHD, Sharifah Sakinah Habis Lebih RM100,000
Masalah mental dari sudut Islam
Bagi merungkai topik ini dengan lebih lanjut, OhBulan! telah mengadakan satu sesi temu bual khas bersama Timbalan Presiden 2 Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA), Ustaz Mohammed Noor Mohammed Derus bagi mendapatkan lagi ilmu pengetahuan mengenai masalah kesihatan mental dari sudut agama.
Menurut Ustaz Mohammed Noor, mental itu sendiri merupakan satu aspek penting dan ‘harta’ yang paling berharga diberikan Allah SWT buat setiap manusia. Ia juga merupakan ‘harta’ yang perlu dikawal dan dipertanggungjawabkan kepada setiap manusia itu sendiri.
Ini kerana mental itu berupaya menentukan sikap kemanusian yang bagaimana akan ditonjolkan oleh seseorang. Secara amnya, bila mental itu tidak ada dalam diri maka tidak akan ada kemanusiaan itu.
Seseorang manusia memerlukan mental dan kawalan minda yang sangat baik bagi membantu mereka bertindak melakukan sesuatu perkara. Sekiranya kita hilang kawalan terhadap akal, minda serta pemikiran, maka kita akan seolah-olah hilang segala-galanya.
Tambah Ustaz Mohammed Noor lagi, otak seseorang manusia ini juga boleh diibaratkan sebagai ‘Wifi Router’ yang mana akan berfungsi dengan baik sekiranya mempunyai siaran atau signal yang baik namun akan mengalami gangguan sekiranya menerima signal yang kurang memberangsangkan.
Begitu juga dengan otak dan pemikiran manusia yang cenderung untuk ‘rosak’ dan bertindak di luar kawalan sekiranya asas kepada pemikiran itu tidak dijaga dengan baik. Tidak kira tinggi mana iman atau amalan seseorang itu, mereka juga boleh berdepan dengan situasi masalah mental.
Tak solat dan mengaji punca masalah mental?
Mereka yang mungkin kurang ilmu agamanya serta kurang amal ibadahnya sering kali dikategorikan sebagai individu yang cenderung dan mudah untuk mempunyai masalah kesihatan mental. Namun adakah benar kurangnya amal ibadah itu menjadi punca kepada masalah kesihatan mental seseorang?
Ustaz Mohammed Noor berpendapat seseorang itu boleh jatuh sakit atau cenderung berdepan dengan masalah kesihatan mental apabila minda dan akalnya terdedah kepada tekanan yang sangat tinggi melebihi kemampuan mereka. Namun, kekuatan imun seseorang itu adalah penentu untuk mereka berdepan dengan sesuatu masalah itu.
Di dalam dunia ini, terdapat seseorang yang mempunyai akal fikiran sinikal terhadap orang lain. Sinikal ini bermaksud mereka merasakan orang di sekeliling mereka mempunyai agenda jahat, pentingkan diri sendiri waima tidak ikhlas terhadap dirinya.
Terdapat juga mereka yang terlalu berpegang kepada sesuatu sehingga memberikan harapan yang cukup tinggi dan akan kecewa sekiranya apa yang mereka harapkan itu tidak mencapai ekspektasi mereka. Orang yang mempunyai pemikiran sebegini lebih mudah untuk berdepan dengan masalah kesihatan mental.
Tak semua orang sama! Orang yang lebih positif boleh tarik “handbrake”!
Berbeza pula dengan orang yang mempunyai pemikiran positif, mereka yang boleh tarik ‘handbrake’ bila berlaku sesuatu musibah dan ujian. Mereka mempunyai imunisasi tinggi ini dapat membantu mengelakkan mereka daripada mengalami masalah kesihatan mental.
Mereka ini juga boleh dikategorikan sebagai seorang yang tidak mempunyai fikiran yang sinikal di mana mereka memandang atau fikir orang di sekelilingnya mempunyai agenda jahat terhadap dirinya.
Bila bercakap soal agama, amal ibadah dan sebagainya sudah tentu ia menjadi satu faktor yang besar dalam membantu seseorang untuk mempunyai pemikiran yang positif.
Namun, sekiranya berlaku salah faham berkaitan agama seperti merasakan Tuhan ini bersifat zalim dan sebagainya maka mereka yang mempunyai salah faham dalam agama ini cenderung berdepan dengan masalah kesihatan mental.
Secara amnya, agama ini boleh menjadi serampang dua mata buat setiap manusia yang mana ia akan menjadi satu sistem imunisasi yang kuat dan dapat menghindarkan seseorang itu dari masalah kesihatan mental sekiranya difahami dengan jelas dan betul namun akan berlaku perkara yang sebaliknya jika terdapat salah faham dalam agama.
Jin dan syaitan pengaruh melakukan perkara luar kawalan?
Secara amnya, mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental ini cenderung untuk melakukan perkara di luar kawalan sehinggakan ada yang mempunyai keinginan untuk membunuh diri.
Adakah keinginan itu datang dari pemikiran mereka yang sukar dikawal atau ia ada mempunyai hubung kait dengan perkara ghaib seperti jin dan syaitan?
Ustaz Muhammad Noor Derus berpendapat bahawa perkara yang berlaku di luar kawalan seseorang itu dipengaruhi oleh tiga aspek:
Pertama:Berlaku disebabkan berlakunya ketiadaan makna dalam kehidupan seseorang.
Mereka ini boleh dikategorikan sebagai masih waras namun pada mereka tiada makna lagi buat mereka untuk meneruskan kehidupan. Hal ini berlaku apabila mereka merasakan diri mereka tidak lagi dihormati, tidak mempunyai hubungan yang baik dengan orang sekeliling dan sebagainya. Jadi mereka cenderung untuk mempunyai keinginan tersebut.
Kedua: Berlaku disebabkan oleh datangnya cetusan-cetusan idea dari otak tanpa kawalan seseorang itu.
Ia juga boleh dikategorikan sebagai pemikiran yang obses di mana ia akan terus menerus memikirkan perkara tersebut tanpa dapat dikawal. Sebagai contoh, mereka merasakan mereka tidak mempunyai sebarang masalah namun secara tiba-tiba datangnya perasaan ingin tahu bagaimana rasanya sekiranya melakukan sesuatu perkara di luar kawalan itu.
Ketiga: Aspek sihir dan jin
Aspek yang terakhir sekali ialah aspek sihir dan juga jin yang cenderung membuatkan seseorang itu melakukan perkara di luar kawalan. Bagi aspek yang ketiga ini, mereka perlu berjumpa dengan mereka yang pakar untuk merawat dan menyembuhkan diri mereka.
Atasi masalah kesihatan mental dengan rawatan Islam
Setiap penyakit yang diciptakan di muka bumi ini mempunyai cara merawat dan penawarnya yang tersendiri. Begitu juga masalah kesihatan mental yang mampu dirawat dan disembuhkan melalui rawatan Islam yang turut dipanggil sebagai ‘Bio-psycho-social and spiritual model’.
Menerusi perkongsian Ustaz Muhammad Noor, rawatan Islam itu sendiri merangkumi empat aspek iaitu biologi, psikologi, sosiologi dan rohani. Ini kerana keempat-empat aspek ini meliputi kesemua elemen yang ada dalam badan dan diri manusia itu sendiri.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Sad ayat 71 hingga 72 yang bermaksud:
‘(Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia – Adam dari tanah. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya”.
Ayat ini menjelaskan bahawa penciptaan manusia ini terdiri daripada dua sisi iaitu sisi roh dan juga rohani.
Rawatan Islam yang dilakukan pihak MIASA, menitikberatkan keempat aspek tersebut.
Bagi aspek yang pertama ialah biologi di mana manusia itu merupakan makhluk hidup yang mempunyai tubuh badan. Bahagian tubuh badan manusia yang mempunyai hubung kait dengan masalah kesihatan mental adalah otak.
Secara amnya, masalah yang dihadapi oleh tubuh badan seseorang itu berupaya untuk merangsang masalah mental melalui pemikiran dan juga otak sekaligus memberi kesan kepada emosi mereka. Mereka boleh berubah menjadi marah, murung dan sebagainya. Jadi dari aspek biologi ini rawatan Islam juga menggalakkan pesakit untuk makan ubat, pengambilan suplemen, beriadah dan sebagainya.
Selain itu, mereka juga akan menasihatkan para pesakit untuk meninggalkan perkara atau amalan yang boleh memberikan kemudaratan pada tubuh badan bagi membantu mereka mendapatkan tubuh badan serta fungsi otak yang lebih baik dan sihat.
Islam juga menekankan aspek psikologi iaitu membetulkan cara pemikiran serta emosi seseorang itu. Ini kerana cara pemikiran serta kawalan emosi itu sangat penting dalam memastikan seseorang itu sembuh dari masalah kesihatan mental. Sekiranya seseorang itu mempunyai cara pemikiran yang salah maka mereka cenderung untuk berdepan dengan masalah kesihatan mental.
Di MIASA, kaedah merawat pesakit bagi aspek psikologi ini dilakukan dengan cara menggunakan kaedah Cognitive Behavorial Therapy (CBT) iaitu membantu para pesakit mengawal masalah mereka dengan cara mengajar para pesakit untuk mengubah cara pemikiran serta kawal emosi mereka supaya lebih positif dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Aspek ketiga ialah aspek sosiologi yang menitikberatkan aktiviti sosial seseorang itu
Aspek sosiologi ini sangat menitikberatkan cara pergaulan serta aktiviti sosial harian seseorang itu. Hubungan serta cara pergaulan yang bagus adalah satu satu cara untuk merawat penyakit yang berkaitan dengan masalah kesihatan mental ini kerana tiada manusia yang hidup sendirian di atas muka bumi ini.
Bagi kaedah rawatan dari aspek sosiologi ini, pihak MIASA akan menitikberatkan hubungan para pesakit dengan orang sekeliling mereka. Ini kerana punca masalah kesihatan mental ini juga boleh berpunca daripada keruhnya hubungan seseorang itu dengan orang sekeliling.
Sekiranya para pesakit mempunyai hubungan yang tidak berapa baik, maka mereka akan dinasihatkan untuk memperbaiki hubungan tersebut demi merawata masalah kesihatan mental mereka.
Aspek terakhir adalah melalui rawatan islam
Aspek terakhir yang digunakan melalui rawatan Islam ialah spiritual ataupun kerohanian yang boleh dipecahkan kepada dua iaitu perhubungan manusia dengan Tuhan serta gangguan jin atau sihir.
Setiap dosa yang dilakukan itu pasti akan ada azab dan balasannya sama ada cepat mahupun lambat. Azab dan balasan itulah yang mendorong kepada berlakunya masalah kesihatan mental dalam diri seseorang.
Jadi bagi membantu merawat masalah kesihatan mental yang dihadapi, seseorang itu perlulah memperbaiki hubungannya dengan Tuhan dengan cara memperbanyakkan amalan serta berusaha sedaya upaya meninggalkan perkara maksiat atau perbuatan berdosa yang sedang dilakukan mereka bagi mendapatkan kehidupan yang lebih tenang dan ceria.
Selain itu, masalah kesihatan mental ini juga dipengaruhi disebabkan oleh gangguan jin dan juga perbuatan sihir.
Kedua-dua elemen ini berupaya membuat seseorang itu berdepan dengan masalah kesihatan mental bahkan mampu menjadi gila. Bagi merawat pesakit, mereka akan dibacakan ayat-ayat suci al-Quran, diberikan herba tertentu untuk dimakan, mandia tertentu untuk diamalkan.
Kaedah Islam atau Barat, mana yang lagi berkesan?
Sebagaimana yang diperkatakan tadi, rawatan Islam itu sangat lengkap kerana ia meliputi kesemua aspek yang diperlukan tubuh badan manusia iaitu biologi, psikologi, sosiologi dan juga aspek rohani.
Dengan izin Allah SWT, sekiranya seseorang itu berdisiplin dan mengamalkan keempat-empat kaedah rawatan yang dicadangkan dan digunakan dalam Islam itu maka mereka mempunyai peluang yang sangat cerah untuk sembuh dari masalah kesihatan mental yang dihadapi meskipun proses untuk sembuh ini akan mengambil masa yang agak panjang.
Tuntasnya, rawatan Islam merupakan kaedah rawatan yang paling berkesan kerana ia sangatlah lengkap dan meliputi kesemua aspek yang sangat penting dan diperlukan oleh tubuh badan manusia.
Nak tahu lebih lanjut mengenai masalah mental, kaedah rawatan, perkongsian pesakit mental yang lain?
Korang boleh ke Besties, Paper Roger! untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan dengan kesihatan mental. Korang juga boleh buat luahan hati secara anonymous tau! So guys, pape roger ok? Jangan sisihkan diri dan jangan menyendiri.
Artikel ini adalah kolaborasi dan perbincangan bersama Ustaz Muhammed Noor Muhammed Derus, Presiden 2 MIASA
* Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA), atau Persatuan Kesedaran Dan Sokongan Penyakit Mental – adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Selangor. Ditubuhkan pada bulan September 2017 dan telah berdaftar dibawah ROS dengan nombor pendaftaran PPM-027-10-14092017. Ikuti mereka di Facebook, Instagram dan Twitter untuk maklumat lanjut.