berita

#BestiesPapeRoger: Rawat ADHD, Sharifah Sakinah Habis Lebih RM100,000

October 5th, 2023 | by Amirul Asraf
OB Eksklusif

Penyakit ADHD adalah gangguan perkembangan saraf yang menyebabkan perilaku hiperaktif, impulsif, dan masalah perhatian. Gangguan ini berkaitan dengan perkembangan otak. Individu yang mengalami ADHD sukar memiliki perilaku atau daya kognitif yang sesuai dengan usianya.

Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober ini, OhBulan! telah melancarkan kempen Besties, Pape Roger. Kempen ini bertujuan memberi ruang kepada semua pejuang pesakit mental termasuk golongan selebriti untuk berkongsi kisah dan pengalaman mereka sendiri.

Untuk lebih mendalami tentang penyakit ADHD, OhBulan! menemubual pelakon popular, Sharifah Sakinah yang merupakan penghidap disleksia tahap ringan yang turut memiliki ciri-ciri Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

Artikel Berkaitan: ‘Beza Umur 20 Tahun & Bukan Melayu’ – Sharifah Sakinah Mengaku Sedang Mengenali Lelaki Berpengaruh Besar

Artikel Berkaitan: Netizen Tuduh Penyakit ADHD Hanya ‘Wayang’, Sharifah Sakinah Balas Jawapan Padu

Cari ilmu perbaiki diri sendiri

OhBulan!: Bila Sakinah dapat tahu dan didiagnos ADHD?

Sharifah Sakinah: Saya tahu saya ADHD. Tapi saya tak diagnos pada awalnya. Bila saya bawa kereta langgar orang dan berlakon, saya rasa macam biasa. Tiada masalah yang bagi tekanan dekat diri saya ketika zaman muda. Masa muda saya tidak mempunyai tanggungjawab, jadi tiada masalah. 

Sampai saya berkahwin dan ada anak. Masa itu tanggungjawab sudah ada. Baru saya diagnos kerana ADHD bagi tekanan dan bebanan dekat diri saya. Bila saya penat, saya akan tinggal tanggungjawab. Saya tak boleh jalani tanggungjawab sebagai isteri dan mak seperti wanita yang normal. Secara tidak langsung, saya mengalami kemurungan (depression).

OhBulan!: Siapa yang banyak tolong Sakinah berhubung ADHD?

Sharifah Sakinah: Bekas suami saya yang banyak tolong. Dia bawa saya jumpa ramai doktor. Kesihatan mental ini tak boleh diagnos sesuka hati. Jangan diagnos sendiri. Kalau nak diagnos sila jumpa banyak doktor, pakar terapi dan psikiatri untuk pastikan anda memang ada ADHD. Masa saya diagnos pada tahun 2019, tahap kesihatan saya (9/9). Saya cuba dapat (7 atau 8 sekarang).

OhBulan!: Boleh cerita sedikit ADHD di mata Sakinah.

https://ohbulan.com/tuhan-tarik-nikmat-bebas-memandu-sharifah-sakinah/

Sharifah Sakinah: ADHD masih baru dikenali. Saya tak setuju ADHD ini dikatakan trend. Bagi saya ADHD penyakit mengada-ngada. Kami ‘drama queen’. Sebab itu, ada segelintir manusia tidak bersetuju dan suka dengan kami.

Ketika disoal adakah ahli keluarga mempunyai masalah yang sama, Sakinah berkata, ayahnya merupakan penghidap ADHD. Di samping itu, beberapa ahli keluarganya yang lain turut menghidap masalah yang sama.

Berbicara mengenai kos rawatan, Sakinah mengakui bahawa dia telah berabis ratusan ribu ringgit.

Saya belanja lebih banyak untuk memperbaiki diri sendiri daripada membeli belah. Kalau saya boleh memperbaiki diri, secara tidak langsung saya boleh bantu orang lain juga. Saya belanja lebih daripada RM 100,000 sebab dekat Sweden mahal ya.

Keluarga tidak pernah menghakimi saya

Disoal pula mengenai tanggapan ahli keluarga, rakan-rakan dan orang yang berada di sekeliling mengenai ADHD, Sakinah bersyukur kerana dikelilingi mereka yang faham mengenai penyakitnya.

Alhamdulillah, keluarga saya sangat menerima apa sahaja. Mereka semua beragama. Mereka tidak menghakimi saya. Kami sebuah keluarga yang penuh dengan kasih sayang. Saya tahu ada kalanya saya melampaui batas. Saya minta maaf. Itu bukan ADHD, tapi salah saya sendiri.

Setiap individu yang mempunyai ADHD pasti mempunyai cabaran tersendiri dalam menempuhi kehidupan harian. Bagi Sakinah, dia tidak dapat melakukan kerja rumah seperti memasak dan memandu kenderaan.

Saya tak boleh rebus telur. Rumah saya terbakar. Gas lupa tutup, tak boleh masak, tak boleh bawa kereta. Saya tak boleh buat aktiviti harian seperti biasa. Kami ADHD suka buat kerja tangguh. Bila tangguh saya akan jadi stres selepas itu.

OhBulan!: Terapi yang Sakinah lakukan untuk kurangkan ADHD?

Sharifah Sakinah: Saya akan bangun seawal pukul 5 pagi untuk mandi ais. Saya lawan. Saya kena ada 100 usaha untuk jadi orang biasa. Saya akan buat senaman. Selepas itu baru kerja. Kami akan buat benda yang kami minat. Saya rasa ini anugerah juga, sebab kami fokus. Bukan semua boleh jadi macam kami. Ada kalanya, saya boleh baca orang.

OhBulan!: Macam mana Sakinah terangkan dekat anak, Anais pasal ADHD?

Sharifah Sakinah: Anais seorang anak yang bijak. Dia dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Saya ajar dia bersyukur. Bila tengok kartun yang ada gambar otak, dia akan panggil saya. Dia kata saya macam kartun itu. Dia tahu pasal ubat. 

Saya tak perlu bagi penjelasan. Saya tahu dia tak ada ADHD. Bila saya bagi pakai baju terbalik, dia akan tegur. Bila saya tak tahu duduk diam, dia akan tegur. Sebelum ini saya rasa ralat, sekarang tidak. Saya buang ego, ketakutan dan ralat semua.

OhBulan!: Sakinah bersyukur hidap ADHD?

Sharifah Sakinah: Saya sangat bersyukur kerana daripada ADHD inilah saya dapat kesempatan mencari ilmu bagi memperbaiki diri sendiri. Sebelum ini, saya salahkan diri sendiri mengapa saya ada ADHD. Sekarang saya sedar ianya anugerah sebab cabaran ini membuatkan saya jadi insan yang kuat. Netizen tegur apa pun saya tak kisah. Saya boleh berbaik dengan bekas-bekas suami walaupun perkahwinan kami gagal. Saya tak pernah salahkan apa pun. Saya syukur apa sahaja Allah bagi, ini satu anugerah untuk kita kembali kepada Dia.

“Sharifah Sakinah digelar ‘bad mother’ kerana ADHD?”

OhBulan!: Apa perasaan Sakinah apabila digelar ‘bad mother’? Siapa jaga Anais?

Sharifah Sakinah: Saya ajar Anais sayangi diri sendiri setiap malam. Sebab itu saya kata dia seorang bijak dan kuat. Anais duduk dengan bekas suami saya. Dia akan berada bersama saya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Hubungan saya dengan bekas suami baik sahaja.

OhBulan!: Setuju atau tidak ADHD merupakan faktor rumah tangga Sakinah musnah?

Sharifah Sakinah: Ya. Saya tak menafikan. Saya cepat bosan. Saya kahwin terlalu awal dan banyak yang bermain di fikiran pada waktu itu. Masalah yang timbul semua daripada diri saya sendiri. Perkahwinan, persahabatan dan kerja saya pun beri kesan. Saya tidak menyalahkan sesiapa.

Ambil ubat setiap pagi & sebelum tidur

Bercerita mengenai pengambilan ubat pula, Sakinah memberitahu dia akan mengambil ubat setiap pagi dan sebelum tidur. Jelas Sakinah lagi, dia turut mencuba perubatan secara tradisional.

Ubat yang saya ambil itu setiap pagi dan sebelum tidur. Ingat, kita kena kawal ubat jangan biarkan ubat kawal kita. Jangan naikkan dos ubat sesuka hati. Kena tahu waktu bila nak makan ubat.

Saya cuba perubatan tradisional juga. Saya percaya essential oil. Saya percaya tenaga. Rumah saya sentiasa cerah. Ada banyak pokok. Bangun pagi saya akan cari matahari. Saya percaya frekuensi. Benda ini semua bagi hati kita jadi tenang contoh selawat. Jauhi teknologi, nikmati alam semula jadi.

Pernah terlintas nak ragut nyawa sendiri?

OhBulan!: Tindakan yang paling teruk Sakinah pernah lakukan?

Sharifah Sakinah: Paling teruk salah bual. Jumpa rakan artis saya tanya kenapa kurus? Potong usus ke? Mereka terus tengok saya. Bila orang borak saya menyampuk dan teruja. Saya jenis akan bagitahu semua. Habis rahsia orang saya akan terlepas cakap kalau wartawan interview saya. Orang macam kami juga akan ada masalah kewangan. Mana tidaknya, bila bahagia kami akan belanja bersungguh-sungguh.

OhBulan!: Pernah terlintas nak ragut nyawa sendiri?

Sharifah Sakinah: Sudah pasti pernah. Bila kita kemurungan mesti kita akan terdetik nak lari daripada masalah. Sebab itu banyak kes bunuh diri. Iman pula kalau tak kuat habislah. Saya percaya semua orang ada rasa macam itu, sebab sampai satu tahap kita akan rasa sangat down.

OhBulan!: Bila waktu sedih Sakinah?

Sharifah Sakinah: Saya tak nak kongsi apa doa saya dengan Allah. Sebab perkara ini sangat privasi dan ianya di antara saya dengan Allah. Saya boleh kata, saya doa untuk lebih masa. Apabila banyak masa, saya ada banyak peluang untuk memperbaiki diri sendiri dan membuat keputusan yang baik.

OhBulan!: Serik tak nak kahwin lagi?

Sharifah Sakinah: Kalau nak cari pasangan, kita perlu perbaiki diri dahulu. Saya tak beriya nak cari jodoh. Sebab orang susah nak faham saya. Mereka nampak saya sempurna secara fizikal tapi mereka tak nampak apa yang saya perlu lalui secara dalaman.

OhBulan!: Sepatah dua kata buat mereka yang tengah ada masalah kesihatan mental terutama ADHD.

Sharifah Sakinah: Buat semua yang tengah ada masalah kesihatan mental, anda perlu gunakan masa dengan cermat untuk mengambil peluang tanya siapa diri anda. Apa yang anda mahu. Tulis dalam jurnal. Bila kita fikir, kita tulis dan lihat semula. Tolong pergi jumpa pakar. Paling penting jumpa lebih dari seorang pakar. Tolong duduk sejenak dan hargai masa. Jangan duduk dalam situasi masa lalu dan pandang ke depan. Guna masa sebaik mungkin. Jangan bangun pagi fikir benda tidak sepatutnya dan cari masalah. Elak stres dan cari jalan memperbaiki keadaan.

OhBulan!: Ucapan untuk anak.

Sharifah Sakinah: Mummy sayang awak sangat-sangat. Apa yang mummy buat ini untuk awak dan semua. Nanti tengok video ini okey. Bila awak dah besar nanti, jom kita beri inspirasi kepada semua orang. Jangan fikir apa yang orang akan cakap tentang awak. Kita buat cara kita, kita kena buat dengan penuh kasih sayang okey. Mummy harap kita sukses. Ingat cabaran ini buat kita bersyukur, lebih mesra dengan orang dan kuat.

Buat pembaca OhBulan! kalau korang nak tahu lebih lanjut mengenai masalah mental, kaedah rawatan, perkongsian pesakit mental yang lain? Korang boleh ke Besties, Pape Roger untuk baca artikel-artikel lain. Korang juga boleh buat luahan hati secara anonymous tau! So guys, pape roger ok?

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×