Sebelum ini pernah viral di laman sosial kononnya aktiviti senaman pada waktu malam tidak digalakkan kerana didakwa otot memerlukan masa sekurangnya 3 jam untuk rehat sebelum boleh tidur. Malahan, menurut pos viral itu lagi, bersenam di waktu malam boleh membawa maut.
Sejauh manakah kebenaran dakwaan tersebut? Dr Imelda Balchin yang tekun menangkis mitos kesihatan tersebar dalam kalangan masyarakat ada jawapannya.
Malam-malam boleh bersenam ke?
Ramai orang tanya saya, “Prof, malam-malam boleh bersenam ke?”
Inilah jawapan saya:
Di Malaysia, ada banyak acara full marathon 42.2km yang bermula pukul 8 malam, ada yang bermula pukul 12 malam, ada yang bermula 2 pagi dan yang lain-lain bermula pada 4 pagi.
Jika anda mengikuti perlawanan bolasepak antarabangsa, pertandingan badminton, volleyball, sepak takraw selalunya dibuat pada waktu malam.
Di Malaysia, waktu siang adalah terlalu panas untuk sukan yang intensif.
Semua athlete-athlete Malaysia, banyak membuat latihan sukan pada awal pagi, petang atau waktu malam. Pada bulan puasa, latihan sukan bermula selepas terawikh.
Di negara sejuk, pada musim sejuk, masa di waktu siang itu pendek dan masa di waktu malam itu lama. Sebagai contoh subuh pukul 8.30 pagi dan waktu maghrib pukul 3.30 petang, maka ramai orang yang hanya boleh bersenam sebelum atau selepas waktu mereka berkerja, akan bersenam malam-malam.
Jantung akan mengepam lebih laju ketika bersenam
Bila bersukan dengan intensif, badan kita membakar lemak badan untuk membuat tenaga baru, dan suhu badan akan naik, sebab pembakaran lemak badan akan menjanakan haba.
Kita mesti turunkan suhu badan ke tahap normal semula dengan berpeluh.
Untuk membuang haba badan yang berlebihan, kita mesti berpeluh dan ini menyebabkan lebih lagi pengaliran darah dialihkan ke permukaan kulit dan ini menyebabkan kurang pengaliran darah ke bahagian otot yang sangat diperlukan semasa bersukan.
Jika banyak sangat berpeluh tanpa mengganti kekurangan air badan dengan secukupnya, jumlah darah dalam badan akan berkurangan dan menjadi pekat (sebab air peluh itu datang dari darah kita yang masuk ke liang peluh di permukaan kulit).
Untuk membantu lebih oxygen disampaikan kepada otot yang berkerja lebih kuat, jantung akan mengepam darah dengan lebih laju dan nadi anda akan menjadi laju semasa bersenam. Tetapi ada had maksimanya kelajuan nadi sebelum anda mula rasa penat.
Tetapi jika jumlah darah berkurangan sebab terlalu banyak berpeluh, denyutan nadi akan bertambah lebih pantas lagi kerana jantung akan pam darah dengan lebih laju lagi untuk memastikan cukup pengaliran darah ber-oksigen ke otot-otot yang berkerja kuat semasa bersukan.
Tidak mudarat bersenam waktu malam
Jika denyutan nadi menjadi terlalu pantas, pernafasan juga menjadi lebih laju dan mereka yang bersukan akan lebih cepat penat, sehingga denyutan nadi diturunkan semula dengan menyejukkan badan dan minum air dengan cukup.
Sebab inilah pencapaian sukan merosot pada waktu panas, dan pencapaian sukan ialah pada tahap yang paling memuaskan pada waktu sejuk.
Alam persekitaran yang sejuk membantu menyejukkan haba yang dibawa oleh darah ke permukaan kulit badan dengan lebih cepat dan kurang keperluan untuk berpeluh banyak-banyak. Paling baik pencapaian pelari full marathon ialah pada suhu 15C. Sebab ini lah, banyak perlawanan sukan di Malaysia, dibuat pada waktu malam.
Tiada kemudaratan bersenam pada waktu malam.
Ada kemudaratan jika tidak bersenam langsung.
Sumber: Dr Imelda Balchin