Setelah enam hari bertarung nyawa di Hospital Putrajaya, penyanyi , Sandra Diane telah menghembuskan nafasnya yang terakhir semalam.
Artikel berkaitan: ‘Dia Nampak Tenang Malam Tu..’ – Tak Sangka Itu Perbualan Terakhir, Wani Kayrie Luah Rasa Sayu
Pemergian Sandra bukan sahaja dirasai oleh rakan-rakan industri seni. Malah, seluruh ahli keluarganya turut bersedih.
Minta baju putih
Pagi sebelum dia ke latihan penuh, saya kejutkan untuk dia mandi sebelum air tiada. Selepas mandi dan bersiap, seperti biasa dia akan luangkan masa dulu bersama adiknya. Selepas itu dia salam saya dan ayah dia. Sewaktu keluar bilik dia patah balik dan tanya saya jika ada baju putih lengan panjang. Saya cakap tiada, cuma yang ada hanya inner warna putih. Dia cakap tidak apa. Saya macam tak puas hati, saya cari lagi baju putih di almari lain dan jumpa. Dia pun bawa baju itu. Ketika itu perasaan saya sudah lain.
Sebelum dia keluar rumah, saya tunggu di ruang tamu dan berikan dia kata semangat untuk buat persembahan terbaik. Dia pun minta saya doakan untuknya. Selepas salam dan peluk cium, saya pesan untuk memandu berhati-hati. Ketika dalam kereta, dia sempat cakap ‘bye mama, jangan lupa tutup ‘gate’. Itulah perbualan terakhir kami.
Menerusi laporan Harian Metro, ibu kepada arwah Sandra iaitu Nor Syakinah memberitahu kali terakhir mereka berdua berjumpa pada hari Sabtu yang lalu. Pada masa tersebut, Sandra turut meninggalkan ucapan “Bye mama, jangan lupa tutup gate” sewaktu dalam perjalanan ke sesi latihan penuh Big Stage. Tambahnya, anaknya juga meminta baju putih lengan panjang untuk dibawa sekali ke latihan tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Namun siapa sangka, perbualan tersebut merupakan perbualan kali terakhir antara mereka berdua. Syakinah turut memberitahu jenazah Sandra sempat dimandi, dikapan dan disembahyangkan di Hospital Putrajaya sebelum dibawa pulang ke Sabah untuk dikebumikan. Sebagai ibu, dia berasa sedih di atas kehilangan tersebut. Jelasnya lagi, segala urusan telah berjalan dengan lancar.
Tak sempat melawat
Kali terakhir jumpa masa hari pernikahan saya. Lepas tu dia balik Sabah. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia tersangkut dekat sana. Saya tak dapat melawat dia dekat Unit Rawatan Rapi (ICU). Hanya ibu bapa dia sahaja yang dibenarkan masuk ICU. Jadi saya cuma dapat gambar dan perkembangan arwah dari group WhatsApp keluarga.
Di samping itu, pelakon, Farah Nabilah memberitahu kali terakhir dia berjumpa dengan sepupunya itu pada majlis perkahwinannya. Sepanjang Sandra di hospital, Farah juga memaklumkan dia tidak berpeluang untuk melawat, Menurutnya, hanya ibu bapa Sandra sahaja yang dibenarkan masuk Unit Rawatan Rapi (ICU).
Sumber: Harian Metro & Astro Gempak