Foto: Buletin TV3
Tular sebelum ini di media sosial, seorang remaja lelaki melakukan cubaan untuk menikam dan menyamun pemandu e-hailing.
Terbaharu, dia telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini namun mengaku tidak bersalah.
Artikel Berkaitan: Tali Pinggang Keselamatan Jadi Penyelamat, Budak Lelaki Berkopiah Cuba Samun & Tikam Pemandu E-Hailing
Mahkamah menetapkan tarikh baharu
Memetik laporan Buletin TV3, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 27 November lalu di tepi Jalan Taman Keladi, Sungai Petani kira-kira jam 6 petang.
Berdasarkan pertuduhan, remaja berusia 13 tahun itu bertindak sedemikian terhadap pemandu e-hailing tersebut yang juga merupakan seorang warga emas bernama Lee Ang Hie.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun serta denda.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Januari hadapan untuk tarikh sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.
Selain itu, Majistret Khairatul Animah juga menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Bagi kes ini Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh mengendalikan pendakwaan manakala peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Duratul Ain Mahmud Morshidi mewakili remaja terbabit.
Terdahulu, remaja itu berjaya diberkas pihak polis setelah laporan dibuat oleh warga emas berusia 65 tahun tersebut.
Sumber: Buletin TV3