Perempuan cenderung berhias untuk menjaga penampilan, termasuk memastikan bulu kening kelihatan kemas kerana ia menonjolkan raut wajah dan meningkatkan keyakinan diri.

Artikel Berkaitan: Minum Segelas Susu Sebelum Tidur Bantu Tingkatkan Kekuatan Tulang, Kurangkan Rasa Lapar

Artikel Berkaitan: Haid Tidak Teratur? Amalkan Cara Ini Untuk Bantu Kitaran Jadi Lebih Stabil

Haram, jika mengunbah rupa asal

Namun, dalam keinginan untuk tampil menarik, timbul persoalan penting dalam kalangan umat Islam mengenai hukum mencabut, mencukur atau melukis kening menurut pandangan syarak.

Menurut Ustaz Farid Rashidi, majoriti fuqaha berpendapat bahawa perbuatan mencabut bulu kening, menipiskannya atau membentuknya sehingga mengubah rupa asal adalah haram.

Larangan ini tidak terhad kepada perbuatan mencabut semata-mata, malah termasuk mencukur keseluruhan kening dan melukis semula atau mencukur sebahagiannya untuk membentuk lengkungan tertentu.

Kesemua perbuatan ini dianggap sebagai mengubah ciptaan Allah S.W.T. tanpa sebab yang dibenarkan.

Perbuatan ini bukan sahaja dikira berdosa, malah mendatangkan laknat kepada individu yang melakukannya serta pihak yang mencabutkan bulu kening tersebut.

Hal ini ditegaskan lagi melalui dalil yang sahih daripada hadis Nabi Muhammad SAW.

Allah melaknat orang yang membuat tatu, yang meminta dibuat tatu untuknya, yang mencabut bulu di muka, yang meminta dicabutkan bulu di mukanya dan orang yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana mereka semua telah menukarkan ciptaan Allah.

Harus, mengikut niat

Walaupun begitu, Islam tetap memberi pengecualian bagi situasi tertentu yang dibenarkan.

Bulu yang tumbuh berlebihan di luar kawasan kening asal boleh dibuang sedikit, iaitu hanya yang perlu untuk mengekalkan penampilan kemas.

Begitu juga, bulu di dagu, bawah bibir, atau misai bagi wanita boleh dibuang kerana tindakan ini bertujuan mengembalikan fitrah asal dan mengekalkan perbezaan fizikal antara lelaki dan perempuan.

Para ulama juga menekankan bahawa seseorang itu perlu menghilangkan perkara yang dibenci sekadar kemampuan, sebagaimana dinyatakan oleh al-Asqalani dalam Fathu al-Bari.

Tanggalkanlah dari kamu perkara yang dibenci sekadar kemampuan kamu.

Keharusan ini juga bergantung kepada niat dan cara perbuatan tersebut, di mana niat berhias mestilah khusus untuk suami dan bukan untuk tontonan umum atau meniru orang yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Perhiasan tersebut tidak boleh mengandungi unsur penipuan atau keterlaluan sehingga mengubah wajah asal secara ketara, dan kaedah yang digunakan mestilah selamat serta tidak memudaratkan kulit atau kesihatan.

Dalam konteks melukis kening pula, Islam menegaskan bahawa melukis kening secara berlebihan sehingga bentuk asalnya berubah adalah haram, termasuk dalam penggunaan solekan tebal untuk mencipta bentuk baharu.

Sebaliknya, melukis kening secara ringan yang tidak mengubah bentuk asal, tidak menimbulkan riya’ dan menggunakan bahan halal serta tidak menghalang wuduk adalah dibenarkan

Islam juga memberi kelonggaran bagi individu yang mengalami kecacatan, seperti kehilangan kening sehingga menimbulkan aib, di mana melukis atau membentuk kening dibenarkan kerana tujuannya adalah untuk menutup kecacatan.

Sumber: Ustaz Farid Rashidi