Gara-gara mengeluarkan kenyataan ‘tidak mahu dibedil seperti Gaza’ dalam sebuah temu bual bersama pihak media, penyanyi Datuk Aishah dikecam teruk oleh warganet selain dilabel tidak sensitif terhadap isu peperangan yang sedang berlaku.
Artikel Berkaitan: ‘Vince Betul-Betul Ingatkan Saya Pada Anak Yang Dah Tak Jumpa Lebih Setahun’ – Aishah
Artikel Berkaitan: ‘Kali Ini Sudah Melampau! Awak Hina Keturunan Saya, Bala Lah Kau Azwan Ali’ – Aishah
Aishah nafi persenda Palestin
Memetik laporan BH Online, Aishah tampil menafikan kecaman warganet tersebut dengan menjelaskan bahawa dia sama sekali tidak berniat untuk mempersendakan situasi genting yang sedang dihadapi oleh umat Islam di negara berkenaan.
Apa yang saya maksudkan dengan kenyataan itu adalah saya tidak mahu terus dikecam netizen jika saya salah beri jawapan. Sepanjang minggu lalu, saya teruk dikecam dengan pelbagai isu.
Saya ibaratkan kecaman itu umpama peluru yang bertubi-tubi membedil rakyat Palestin yang tidak berdosa.
Tindakan saya ketawa ketika mengeluarkan kenyataan itu adalah kerana saya membayangkan bagaimana golongan pembenci akan menggunakan jawapan saya itu nanti sebagai modal untuk menghentam saya, bukannya kerana saya lucu dengan situasi yang berlaku di Gaza.
Dalam pada itu, pemilik nama Wan Aishah Wan Ariffin berkata sesetengah warganet salah faham dalam menafsirkan kenyataan berkenaan sehingga ia menjadi tuduhan berat baginya.
Apa yang diperdebatkan dalam media sosial, diambil dari konteks yang tidak tepat. Justeru, saya terpanggil untuk menjelaskan maksud sebenar. Demi Allah, tiada sekelumit langsung dalam hati saya untuk mempersendakan penderitaan rakyat Palestin.
Bagaimanapun, jika ada mana-mana pihak yang berkecil hati dengan kenyataan saya itu, saya minta maaf.
Pelantun lagu Janji Manismu itu turut mengakui sebagai saudara seagama dia sememangnya cakna tentang isu peperangan berkenaan walaupun sedang giat berlatih untuk program All Stars Gegar Vaganza.
Barangkali ramai yang tidak tahu, dalam kesibukan membuat persiapan menghadapi konsert mingguan, saya masih sempat mengikuti perkembangan di Gaza dalam media sosial. Saya juga membaca untuk mendapatkan gambaran dan perspektif pelbagai pihak berhubung konflik itu.
Hanya kerana saya tidak bercakap mengenainya, tidak semestinya saya tidak prihatin. Apabila tuduhan seperti ini timbul, saya mengucap panjang.
Ketika peperangan ini berlaku, saya rasa serba salah kerana pada masa sama, saya perlu membuat persembahan. Terdetik dalam hati perasaan bersalah kerana berhibur ketika saudara seagama menjadi mangsa perang. Namun, demi tugas, saya reda dengan apa sahaja yang berlaku.
Terdahulu, penyanyi berusia 58 tahun ini diumumkan sebagai peserta ketiga yang tersingkir pada minggu ke empat rancangan tersebut.
Sumber: BH Online