Sakit misteri yang dideritai wanita Nur Izzati Afiqah Hussian mendapat perhatian meluas media bulan lepas. Berat badan yang naik mendadak kepada 300 kilogram, Afiqah juga mengalami sakit seperti dicucuk jarum dan leher yang seperti dicekik sehingga sesak nafas.
Setelah 5 bulan, derita Afiqah berakhir apabila dia menghembuskan nafas terakhir, malam semalam.
Disangka datang haid
Afiqah meninggal dunia di rumahnya di Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas, Kelantan, pada malam Rabu. Lapor Sinar Harian, ibu saudara arwah, Zainab Hassan berkata sebelum pemergian anak saudaranya itu, arwah mengalami pendarahan banyak lebih dari kebiasaan.
Mulanya, kami ingatkan dia datang haid tetapi berlaku dalam keadaan yang begitu banyak. Darah tersebut keluar pada jam 2 petang dalam keadaan berketul.
Tambah Zainab, ketika itu arwah masih boleh bercakap sebelum perlahan-lahan bertukar lemah dan menghembuskan nafas terakhir.
Minta bantuan bomba untuk pengebumian
Zainab yang banyak menguruskan keperluan anak saudaranya itu menyifatkan arwah sebagai seorang yang baik dan mereka sekeluarga akur serta reda dengan ketentuan-Nya.
Selain ibunya, saya adalah orang yang cukup rapat dengan arwah kerana setiap hari mengurus dan menjaganya sepanjang dia sakit.
Zainab berkata, jenazah arwah akan disemadikan jam 11 pagi Khamis di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung.
Ujarnya lagi, keluarga terpaksa mendapatkan kerjasama dan bantuan Bomba dan Penyelamat Balai Pasir Mas bagi membantu urusan pengebumian kerana keadaan fizikal arwah.
Sumber: Sinar Harian