Tular sejak semalam pihak dewan selera di sebuah sekolah berasrama penuh didakwa menghidangkan telur busuk kepada para pelajar.
Artikel Berkaitan: Keracunan Makanan Sampai Muntah Hitam, Riena Diana Serik Makan Oyster
Bukan kali pertama
Menerusi hantaran di Facebook (FB), seorang wanita tampil mendedahkan perkara terbabit dengan memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku kepada pelajar-pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang, Jelebu.
Makanan yang dihidangkan dekat MRSM Kuala Klawang hari ini (Selasa), yang menyebabkan ramai anak-anak sakit perut dan cirit birit.
Dah nampak tembelang macam ini masa kupas telur tapi masih hidang dekat anak. Mana hati perut diaorang ye.
Wanita tersebut juga mendakwa kejadian seperti itu pernah berlaku sebelum ini iaitu para pelajar mengadu sakit perut selepas menjamah makanan di dewan selera sekolah terbabit.
Dia juga menggesa supaya pihak bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap insiden yang menimpa pelajar-pelajar itu.
Ini bukan kali pertama hidangan buruk macam ini. Harap pentadbiran tamatkan (kontrak) terus lah.
Kes hari itu bagi anak-anak makan cili pedas teramat sampai sakit perut. Dah janji nak buat makanan elok-elok, tapi sekarang jadi macam ini pula.
Sampai hati, anak-anak tingkatan empat dan tingkatan lima dah nak duduki peperiksaan sakit perut pula.
Respon Pengerusi MARA
Foto: BH Online
Sementara itu, kejadian tersebut telah mendapat perhatian Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki yang memaklumkan bahawa tindakan tegas akan segera diambil demi menjaga kebajikan pelajar.
Saya sudah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara untuk segera siasat, ambil tindakan tegas dan pastikan kes ini tidak berulang lagi.
Prinsip saya dalam hal ehwal kebajikan pelajar, tiada kompromi terhadap mana-mana kontraktor dewan selera yang ambil mudah dan enteng dalam isu penyediaan makanan pelajar. Jangan hanya mengejar untung atas kesusahan orang lain. Keuntungan atas kecurangan pastinya tiada keberkatan.
Jika didapati kecuaian ini benar-benar berlaku, MARA pastinya akan ambil tindakan tegas termasuklah menamatkan kontrak sebagaimana perjanjian dan peraturan yang ditentukan.
Sumber: FB Amira Alia Faizul , FB Dr Asyraf Wadji