Isu Doula sejak akhir-akhir ini sedang hangat diperkatakan di media sosial. Ini kerana, terdapat golongan Doula menolak nasihat dan kepakaran doktor sekaligus mencipta ideologi sendiri yang boleh mengancam nyawa ibu mahupun anak yang bakal dilahirkan.
Perkataan Doula sebenarnya berasal daripada bahasa Yunani purba yang membawa maksud ‘hamba wanita/female slave‘. Peranan Doula adalah sebagai peneman atau pendamping sebelum, ketika atau selepas kelahiran seorang ibu hamil disamping memberikan sokongan emosi dan bantuan fizikal.
Seorang Doula perlu diiktiraf
Doula bukanlah daripada pakar perubatan, mereka tidak boleh menyambut atau menyediakan rawatan kepada ibu yang ingin melahirkan. Jika di Amerika Syarikat dan United Kingdom, untuk menjadi seorang Doula, mereka perlu mengambil program latihan dan lulus peperiksaan untuk membantu wanita hamil dan keluarga mereka semasa proses kelahiran. Namun di Malaysia, khidmat Doula masih belum dapat bernaung di bawah Persatuan yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Apakah peranan Doula?
Menurut WebMD, terdapat 3 jenis Doula iaitu Doula Anterpatrum, Doula Labor dan Doula Pospartum. Ketiga-tiga peranan Doula ini adalah berbeza-beza seperti:
Peranan Doula sebelum bersalin (Doula Anterpatrum)
- Bertemu dengan si ibu semasa trimester kedua atau ketiga untuk sesi perkenalan.
- Mengajar kemahiran relaxation dan teknik pernafasan.
- Menjawab segala persoalan anda tentang proses kelahiran.
- Membantu ibu dan suami mengenai prosedur ketika berada di dalam wad bersalin dan risiko-risiko yang boleh dialami semasa melahirkan.
- Menerangkan bagaimana si ibu boleh merancang kelahiran yang seterusnya.
Peranan Doula semasa bersalin (Doula Labor)
- Akan bersama si ibu ketika di dalam wad bersalin dengan memastikan keadaannya selesa.
- Menyediakan sokongan emosi, sokongan fizikal dan apa-apa bantuan untuk si ibu ketika bersalin.
- Membantu ibu mendapatkan nutrisi dan cecair yang mencukupi.
- Sentiasa bersedia untuk memanggil jururawat atau doktor sekiranya si ibu sudah merasai tahap untuk melahirkan.
Peranan Doula selepas bersalin (Doula Pospartum)
- Memberi sokongan dan galakan kepada si ibu dan bapa selepas membawa bayi pulang ke rumah.
- Mengajar cara-cara betul untuk menjaga bayi.
- Membantu si ibu tentang teknik penyusuan badan yang betul.
- Memastikan si ibu mendapat rehat yang secukupnya, makan secara teratur, kekal terhidrasi dan sentiasa berasa selesa.
Apa itu Doula Ekstremis?
Menurut perkongsian daripada Public Health Malaysia di laman Facebooknya, Doula Ekstremis adalah golongan yang membawa ideologi melampau dan melepasi limitasi tugas dan peranan sebagai seorang Doula sehingga mengenetepikan nasihat kepakatan doktor perubatan.
Antara ciri-ciri Doula ekstremis ini adalah:
- Menasihatkan ibu untuk melahirkan anak di rumah atau ‘home birth‘.
- Melanggar etika atau prinsip seorang Doula.
- Mengutamakan wang ringgit dan mengenakan bayaran melampau sehingga mencecah 2 ribu ringgit.
- Menyebarkan dakyah terpesong tentang isu kelahiran dan rawatan berasaskan perubatan moden dan sains.
- Membawa idealogi sesat seperti anti-vaksin.
- Aktif menyebarkan dakyah sesat di laman media sosial
- Merasakan diri mereka lebih hebat dan berpengalaman berbanding anggota kesihatan walaupun hanya memiliki pengalaman dan pengetahuan yang terhad dalam bidang perubatan.
Sumber: Public Health Malaysia , WebMD