Setiap ibu pasti memasang niat untuk punyai zuriat sendiri. Begitu juga pelakon, Siti Elizad Mohamad Sharifuddin atau lebih dikenali industri sebagai Elizad. Walau bagaimanapun, bukan setiap impian kita itu menjadi realiti.
Baru-baru ini, Elizad menerusi Harian Metro mendedahkan pernah mengalami cyst seberat 4 kilogram yang menjadi antara punca beliau sukar hamil. Kata pelakon drama ‘My Darling, Inspektor Daniel’ itu, dia telah menjalani pembedahan dua tahun lepas, namun ketumbuhan sebesar telur itu dikesan semula dalam perutnya tahun lalu.
Cyst antara punca lambat hamil
Saya difahamkan cyst ini antara punca saya lambat hamil. Saya ada mencadangkan kepada doktor yang mana ingin membuang ketumbuhan ini sekiranya saya diberikan rezeki hamil dan apabila bersalin, cyst dikeluarkan sekali.
Memang sedikit tertekan. Malah ketumbuhan ini membuatkan seseorang cepat loya.
Tambah pelakon jelita itu, faktor pemakanan juga menjadi antara punca yang mengundang ketumbuhan cyst. Semenjak itu, Elizad mula mengambil langkah berhati-hati dalam pemilihan makanan harian.
Antara lain faktor pemakanan
Bagi kes terbaru ini, saya belum buat pembedahan kerana terikat dengan jadual kerja yang padat. Saya hanya mengamalkan makanan organik sebagai langkah untuk mengurangkan pembesaran ketumbuhan ini.
Alhamdulillah, selepas membuat pemeriksaan minggu lalu, cyst mengecut. Diakui perkara ini berpunca daripada faktor pemakanan harian.
Pelakon itu turut menjalankan pemeriksaan kesihatan setiap tahun. Akui sentiasa berasa takut setiap kali menunggu hasil pemeriksaan doktor, Elizad nasihat orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dari segi pemilihan makanan.
Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik. Setiap kali menunggu hasil pemeriksaan doktor, saya pasti takut.
Bimbang juga jika hasilnya positif. Sekarang ini semua orang mudah terdedah kepada penyakit. Jadi, cara terbaik adalah berhati-hati dalam soal pemakanan.
Sumber: Harian Metro