Bagi pasangan pengantin, sentuhan ‘pak andam’ yang tepat bukan sekadar menaikkan seri wajah tetapi juga memberi keyakinan di hari bahagia.
Salah seorang ‘pak andam’ lelaki yang semakin mendapat perhatian ialah Megat Mat Akhir, atau lebih mesra dikenali sebagai Megat Tan, pemilik butik pengantin Nur Anggun Bridal di Taiping, Perak.
Megat Tan, 57 tahun, sudah lebih tiga dekad berkecimpung dalam bidang andaman.
Bermula secara tidak sengaja selepas SPM pada tahun 1985, beliau selalu diundang menjadi pengapit pengantin.
Namun, menjadi pengapit pada zaman dahulu bukan sekadar berdiri di sisi pengantin, tetapi turut merangkumi tugas menghias wajah dan membantu pengantin dalam persiapan mereka.
“Dulu kalau jadi pengapit, kena bersiap macam pengantin juga. Lama-lama, jiran dan kawan-kawan mula panggil untuk bantu mereka. Dari situ, saya mula jatuh cinta dengan dunia andaman,” katanya.
Namun, minatnya tidak terus dijadikan kerjaya utama. Pada hari biasa, Megat Tan menguruskan kilang arang kayu bakau milik sendiri, manakala pada hujung minggu, beliau menjalankan tugas sebagai ‘pak andam’.
Sentuhan Megat Tan
Tidak seperti zaman dahulu, dunia andaman hari ini lebih terbuka dan ramai ‘pak andam’ lelaki mendapat tempat.
Pada awalnya, Megat Tan mengakui segan untuk mempromosikan diri di media sosial, tetapi dengan dorongan rakan bisnes, beliau akhirnya mencuba.
“Mula-mula malu juga, sebab dah berumur. Tapi bila saya mula post, ramai yang beri sokongan. Tak sangka permintaan tinggi sampai sekarang,” katanya.
Keistimewaan Megat Tan terletak pada teknik solekannya yang mengekalkan warna kulit asli pengantin lelaki tanpa menukar tona wajah.
“Saya cuma naikkan seri. Kalau kulit gelap, biarlah gelap, yang penting nampak bersih dan berseri, bukan jadi macam wayang Cina,” ujarnya berseloroh.
Dengan bayaran hanya RM250 untuk solekan pengantin lelaki, Megat Tan memastikan penggunaan produk berkualiti yang selamat untuk kulit.
Bagaimanapun, bayaran RM250 hanya meliputi solekan dan tatarias, tidak termasuk pengangkutan dan penginapan sekiranya tempahan dibuat di luar kawasan Taiping.
View this post on Instagram
Beliau turut menyediakan pakej lengkap perkahwinan, termasuk baju pengantin, pelamin, katering, PA sistem dan juruacara majlis.
Trend & masa depan ‘pak andam’ lelaki
Menurut Megat Tan, trend andaman lelaki tidak banyak berubah, tetapi pemilihan produk kini lebih canggih.
Beliau juga menitikberatkan kebersihan dalam penggunaan alat solekan dan memastikan setiap span serta berus dicuci dengan teliti.
“Dulu, alat solek biasa-biasa saja. Sekarang, banyak produk yang lebih berkualiti, tapi kita kena tahu memilih. Ada produk yang boleh menyebabkan kulit menggelupas kalau tak sesuai,” jelasnya.
Berkat kuasa viral, jadual tempahan Megat Tan kini penuh hingga tahun 2026.
“Saya letak had maksimum tiga klien sehari sebab saya pentingkan kualiti. Ini hari penting untuk mereka, jadi saya nak pastikan mereka betul-betul berseri,” katanya.
Buat mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini, Megat Tan berpesan agar mereka benar-benar ikhlas dalam bekerja.
“Minat saja tak cukup. Kena ada keikhlasan dan disiplin. Kalau betul-betul mahu, teruskan. Rezeki itu akan datang dengan sendiri,” katanya menutup bicara.
Semangat dan keberanian Megat Tan dalam mengejar minatnya patut dijadikan inspirasi kepada usahawan di luar sana.
Kejayaannya membuktikan bahawa dengan keikhlasan, kesungguhan dan disiplin, minat boleh dijadikan sumber rezeki yang berterusan.
Mahu memaparkan perniagaan anda di lebih 30 jenama? Media Prima memperkenalkan #MariLokal bagi membantu PKS meningkatkan perniagaan.
Layari laman web REV Media Group untuk mengetahui lebih lanjut.