Membuka tirai Sukan Sea ke-30, Filipina sebagai tuan rumah dilabel gagal teruk kerana kegagalan menyediakan fasiliti dan kemudahan terbaik untuk atlet dan delegasi bertanding. Tiba-tiba, viral berita kononnya tuan rumah menang anugerah penganjur Sukan Sea terbaik dalam satu majlis anugerah. Biar betul?
Tiada dalam kategori
Anugerah itu dikatakan diberikan oleh Sports Industry Awards (SPIA) Asia. Berita itu kemudiannya dilaporkan oleh agensi berita kerajaan Filipina, Phillipine News Agency, yang kemudiannya diambil beberapa organisasi berita. Tidak berapa lama kemudian, perkara itu mula viral.
Namun setelah diteliti, tiada asas disebalik anugerah tersebut, malahan langsung tiada kategori anugerah ‘Penganjur Sukan Sea Terbaik’ disenaraikan dalam senarai pemenang SPIA.
Jika benar Sukan Sea ke-30 berjaya merangkul anugerah, sudah tentunya acara besar itu jatuh dalam kategori Acara Sukan Antarabangsa Terbaik Tahunan. Kategori ini dimenangi Rugby World Cup 2019 (Emas), Formula 1 Rolex Australia Grand Prix 2019 (Perak), dan Piala AFC Asia 2019 (Gangsa)
Hanya pujian CEO SPIA
SPIA secara rasmi tidak mengiktiraf Filipina sebagai penganjur Sukan Sea terbaik. Namun, Pengerusi Jawatankuasa Sukan Sea tahun ini, Alan Peter Cayetano dipuji oleh Ketua Pegawai Operasi (CEO) Eric Gottschalk. Eric melabel Sukan Sea kali ini sebagai yang terbaik pernah dianjurkan.