berita

Ganti Anim Ezati, Sofea Fea Pengacara Baru Rancangan 999

April 1st, 2020 | by Wan
Kini Trending

‘Jenayah Membawa Padah’ merupakan slogan yang sering terngiang-ngiang apabila disebut tentang ‘999’. Pada tahun ini, 999 masih menegakkan misi untuk memberikan liputan menyeluruh tentang kejadian jenayah terkini yang melibatkan orang perseorangan, kumpulan, harta benda, dan komersial bersama agensi-agensi pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Agama Islam, Jabatan PERHILITAN Malaysia, dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pengacara baru

Terbaru, program jenayah nombor satu negara itu bakal tampil dengan wajah baharu apabila wartawan Segmen Viral, Sofea Nur Solehha Tun atau lebih dikenali sebagai Sofea Fea bakal menggantikan Anim Ezati Rizki bermula 7 April. Mengekalkan kandungan 999 yang tersedia ada, 999 akan tetap merungkai kes-kes jenayah bersama pihak berkuasa secara eksklusif dalam memberikan pengalaman menyeluruh kepada penonton .

Nama Sofea Fea sememangnya tidak asing lagi di dalam dunia pengacaraan. Mempunyai lebih 13 tahun pengalaman dalam bidang ini, Sofea Fea sebelum ini bergelar pengacara di beberapa rancangan televisyen popular RTM sebelum meneruskan kerjaya sebagai personaliti TV di rangkaian televisyen Media Prima.

999 terus diminati

Minggu lalu, 999 telah menyediakan laporan eksklusif keadaan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Diraja Malaysia menguatkuasakan Ops COVID-19 seperti diperintahkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan titah Yang Dipertuan Agong. Episod tersebut turut memuatkan laporan bersama KPDNHEP tentang peniaga topeng muka dan ‘hand sanitizer’ yang tidak bertanggung jawab, menaikkan harga barangan dengan harga ,yang tidak munasabah. Laporan terkini seperti ini akan terus disiarkan dalam 999.

Selain itu, 999 turut menyediakan liputan mengenai bencana alam, kemalangan jalan raya, kebakaran, dan juga lemas bersama Jabatan Bomba Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Dalam aspek jenayah siber pula, 999 turut mengupas kes video tular di laman sosial dengan laporan yang disertakan dengan ‘Voxpop’ Netizen serta temu bual bersama pakar jenayah, khususnya dalam bidang penganalisis jenayah, pakar psikologi, dan pakar kriminologi. Jangan lupa saksikan 999 setiap hari Selasa pada pukul 9 malam, di TV3.

The following two tabs change content below.