Kes kemalangan akibat struktur jalan raya yang tidak rata seringkali mendedahkan pengguna jalan raya kepada bahaya, lebih-lebih lagi penunggang motosikal dan basikal. Hal ini menimbulkan kerisauan orang ramai kerana kemalangan disebabkan jalan berlubang semakin bertambah saban hari.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Gara-Gara Terlanggar Lubang, Penghantar Makanan Meninggal Dunia Di Damansara
Oleh demikian, rakyat Malaysia mula membuat tindakan secara sukarela dengan menurap jalan untuk memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya dan kurangkan kemalangan akibat jalan yang berlubang. Antara sukarelawan yang baik hati adalah Lando Zawawi dan kumpulan ‘Brotherhood’ yang sering membantu menyelesaikan isu berkaitan dengan jalanraya.
Guna duit poket sendiri untuk baiki jalan
Foto: Lando Zawawi
Azlan Sani Zawawi, atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi merupakan pelakon yang pernah dikenali ramai suatu ketika dahulu. Menerusi perkongsian beliau di Facebook, sudah banyak kerja menurap jalan yang rosak dikongsi di laman sosial itu.
Ekoran tiada tindakan drastik daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), sekumpulan anak muda atau Brotherhood yang diketuai oleh Lando Zawawi, telah mengeluarkan duit poket sendiri untuk menurap jalan yang berlubang.
Uji bahan rekaan terbaru
Foto: Lando Zawawi
Baru-baru ini, Lando Zawawi turut berkongsi di Facebook rasminya tentang ujian bahan rekaan terbaru mereka yang dikenali sebagai BHPATCH untuk memperkuatkan jalan di lokasi yang menjadi tumpuan trafik, di Pasir Gudang.
BROTHERHOOD sedang menguji bahan rekaan terbaru kitorang BHPATCH yg boleh digunakan untuk memperkuatkan palaman premix di lokasi heavy traffic dan ada masalah base
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar ujikaji ini berjaya dan dapat menyelamatkan lebih ramai pengguna jalan raya serta berharap untuk pihak-pihak lain turun padang membaiki jalan.
Sumber: Lando Zawawi.