berita

Henti Berpolitik, Ini Masa Kita Semua Berganding Bahu Lawan Covid-19!

October 23rd, 2020 | by Wan
Kini Trending

Gelombang ketiga penularan Covid-19 di Malaysia dijangka berlarutan hingga awal tahun depan berdasarkan trend peningkatan kes harian. Namun Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah optimis ianya dapat dibendung jika semua pihak memberi kerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Di sebalik kegusaran rakyat terhadap pandemik yang sedang melanda negara ini, beberapa pihak dilihat masih ‘ligat’ berpolitik seolah tidak memahami keluh kesah rakyat yang semakin terhimpit kesan daripada perintah kawalan pergerakan. Ada yang diberhentikan kerja, perniagaan terpaksa ditutup, malah dijangka ramai bakal muflis menjelang tahun depan.

Bantu rakyat

Memetik laporan FMT, Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, Johari Abdul Ghani menyambut baik gencatan politik yang diumumkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lalu.

Menurut beliau, gencatan politik adalah jalan terbaik untuk semua pemimpin parti politik berusaha membantu rakyat yang semakin tertekan akibat peningkatan kes Covid-19 setiap hari.

Tekanan ekonomi akibat pandemik Covid-19 ini bukan sahaja memberi kesan kepada golongan B40, ia juga memberi impak besar kepada semua pihak sama ada M40, T20, pengusaha kecil dan sederhana bahkan syarikat besar termasuk yang tersenarai di Bursa Malaysia

#PauseMalaysia henti politik

Sementara itu, kempen#PauseMalaysia dilancarkan oleh pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq yang meminta semua parti politk berdamai sementara dan memikirkan cara menangani wabak ini.

Tambah Saddiq, semua pihak perlu duduk semeja mengenepikan fahaman politik buat seketika bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19

Tidak ada PRU selagi ancaman Covid-19 masih berleluasa di Malaysia. Pihak kerajaan, pembangkang dan Bebas (perlu) duduk semeja, wujudkan satu kerjasama melebihi kepartian dalam meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan nombor satu. Anda bergaduh, rakyat sengsara.

Agong seru muhasabah

Pergolakan politik dikala negara sedang melawan pandemik Covid-19 turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Menerusi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, Agong menyeru rakyat khususnya ahli politik untuk bermuhasabah supaya negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu ketika semua masih berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Baginda menegaskan ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan

Titah Agong disambut baik parti presiden Pas yang turut mengarahkan segala aktiviti politik dihentikan serta merta dan fokus menangani masalah rakyat. Memetik laporan NST, Hadi Awang menyeru ahli politik turun padang, mendengar keluh kesah rakyat dan tunjukkan Islam sebagai agama yang membantu orang ramai.

NGO seru fokus masalah kesihatan

Sementara itu beberapa NGO turut menyuarakan pandangan agar pihak terbabit henti berpolitik. Jelas Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, ini bukan masa untuk pertandingan politik, tetapi waktu untuk mempertimbangkan masalah kesihatan awam yang serius dan keadaan masyarakat.

Tan Sri Lee Lam Thye juga berharap desas desus mengenai pilihan raya umum yang bakal diadakan hujung tahun ini tidak benar kerana ianya bakal memberi kesan buruk kepada negara dan rakyat tatkala negara sedang melawan pandemik.

Pertama, kos untuk mengadakan pilihan raya perlu difikirkan. Ini akan membebankan kerajaan memandangkan sebahagiannya disebabkan oleh kemerosotan ekonomi kerana COVID-19

Kedua, kita tidak dapat menghadapi jangkitan COVID-19 lagi yang pasti akan berlaku ketika orang ramai berkumpul untuk ceramah pilihan raya dan mengundi.

Kita harus belajar pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini yang menambah kluster baharu.

Sumber: Berita Harian, FMT, NST, Program Perubatan KKM

SKIP THIS AD ×