Atas perbuatan tidak bertanggungjawab dua individu dipercayai perempuan telah merosakkan lukisan mural wajah-wajah wira negara dengan perkataan kesat, pihak MBSA telah bertindak memadamkan lukisan tersebut. Tindakan tersebut adalah untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku kelak.
Artikel berkaitan: ‘Busuknya Hati!’ – Mural Pemimpin Negara Diconteng Kata-Kata Kesat, Netizen Bengang
Pelukis mural wira-wira negara iaitu Suhaimi Ali meluahkan rasa kecewa dan sedih menerusi laman Facebooknya. Dikesempatan itu, dia juga berterima kasih kerana telah menyokong bakat seninya sepanjang berada di Taman Cahaya Alam di Seksyen U12, Shah Alam.
‘Hero is gone’
Meskipun lukisan mural itu terpaksa dipadamkan, Suhaimi Ali masih mengucapkan ucapan terima kasih kepada orang awam yang menyokong hasil seni dan bakatnya itu. Tambahnya, dia juga mohon maaf kerana selepas ini tiada lagi lukisan wajah-wajah wira negara untuk orang awam bergambar.
Dicat semula dengan cat putih
Memetik laporan Metro, salah seorang daripada tiga pelukis mural itu iaitu Muhamad Firdaus Nordin turut meluahkan rasa terkilan dan kecewa apabila mendapat perkhabaran itu.
Sebaik sahaja dapat tahu, saya terus datang ke sini selepas tengok gambar dan video di ‘group WhatsApp.’ Sampai sini sudah ada ramai orang dan lukisan sedang ditutup.
Lukisan yang diconteng itu dicat semula dengan cat putih oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kawalan pihak polis.
MBSA memandang serius
Sementara itu, menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA iaitu Shahrin Ahmad menerusi laporan BH Online akan mengambil tindakan terhadap individu yang bertindak melakukan perbuatan vandalisme itu.
MBSA memandang serius terhadap perkara itu. Tindakan vandalisme seperti ini amat dikesali kerana mural tersebut diabadikan sebagai menghargai peranan dan sumbangan semua pihak khususnya pemimpin negara yang bekerja keras dan komited dalam menangani wabak COVID-19.
MBSA juga ingin menasihatkan kepada semua pihak merujuk terlebih dahulu kepada MBSA sebelum melakukan aktiviti mural di tempat awam di kawasan pentadbiran MBSA.
Sumber: Metro, BH Online, Suhaimi Ali