berita

“Hip-Hoppin’ Asia” Bawa Joe Flizzow Kenalkan Hip-Hop Asia

October 12th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Dikenali melalui kumpulan Too Phat bersama Malique, Joe Flizzow kini boleh berbangga dengan kejayaan demi kejayaan yang dikecapinya.

Sebagai Duta Hip-Hop Antarabangsa Malaysia, Joe Flizzow yang juga dikenali sebagai The President sememangnya adalah seorang artis yang berbakat. Dia juga adalah seorang penulis lirik, produser, memiliki jenama pakaian sendiri dan juga juri untuk rancangan tarian di 8TV, ‘Showdown’.

Seiring dengan itu, Joe Flizzow telah diberi kepercayaan oleh 8TV untuk sebuah rancangan pertamanya, “Hip-Hoppin’ Asia”, yang membawa dia ke 7 buah negara iaitu Thailand, Taiwan, Filipina, Jepun, Hong Kong, Sri Lanka dan juga Indonesia untuk membuka mata mengenai pergerakan Hip-Hop di seluruh Asia.

Rancangan bersiri selama 10 episod ini telah dimulakan rakamannya pada April 2012 yang lalu dan mengambil masa sehingga 3 bulan sebelum ianya menamatkan siri jelajahnya di 15 buah bandar.

Ditanya apakah tujuan rancangan ini yang sebenarnya, Joe Flizzow mengakui ramai orang masih tidak faham apakah maksud sebenar Hip-Hop itu sendiri.

“Bagi saya, saya tahu orang Malaysia faham apa itu Hip-Hop. Tapi, apa yang kita tahu hanyalah Hip-Hop di TV, dan bukannya imej sebenar Hip-Hop. Sebenarnya banyak lagi cerita disebalik perjalanan hidup seseorang artis Hip-Hop itu sendiri,” jelas Joe memulakan perbualan.

Joe turut menyatakan bahawa antara tujuannya dalam rancangan “Hip-Hoppin’ Asia” adalah untuk menunjukkan pada dunia bahawa Hip-Hop sudah lama bertapak di Asia dan setiap ‘scene’ ada kebaikan dan keburukan masing-masing.

“Kalau kita tengok di Jepun dan Filipina, Hip-Hop sudah berada di sana lebih kurang 30 tahun dan di Malaysia sendiri pada tahun 80an sudah ada ‘breakdance’.

“Hip-Hop di Asia, ianya masih lagi sub-genre, boleh dikatakan masih lagi ‘underground’,” tambah Joe lagi.

Kesemua 10 episod ini bakal mengorek segala rahsia Hip-Hop diseluruh Asia dan apa yang paling menarik ialah untuk episod ke-10, Joe bakal mendedahkan ‘scene’ Hip-Hop di Malaysia.

“Hip-Hoppin’ Asia bakal bersiaran bermula esok (11 Oktober) pada jam 9.30 malam di 8TV. Jadi, jangan lupa untuk saksikannya ya!

SKIP THIS AD ×