Sekadar gambar hiasan
Ungkapan ‘cinta itu buta’ sangat sesuai menggambarkan situasi yang dilalui detektif wanita dari Rusia ini apabila dia dipercayai menyalahgunakan kuasanya selepas menjalin hubungan cinta bersama seorang suspek yang terlibat dalam kes kecurian.
Detektif dan suspek bercinta
Foto: Kompas.com
Memetik laporan Wio News, hubungan mereka berdua dipercayai terjalin selepas detektif muda yang dikenali dengan nama Madina Shukenova itu ditugaskan untuk mengendalikan dan mencari bahan bukti kes kecurian wang di bank yang dilakukan oleh suspek utama, Mikhail Serbin.
Namun siapa sangka, sepanjang tempoh tersebut, detektif yang berusia 24 tahun dan suspek berusia 22 itu sudah mula menaruh hati antara satu sama lain. Difahamkan, Mikhail Serbin telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tarikh perbicaraan.
Hubungan akhirnya terbongkar
Foto: Kompas.com
Menurut sumber, Madina Shukenova telah menghadiahkan sebuah kereta kepada teman lelakinya itu. Namun hubungan mereka berdua akhirnya terbongkar selepas Mikhail ditemukan datang ke rumah Madina dengan memandu kereta pemberian detektif muda itu. Berikutan daripada insiden tersebut, Madina membuat keputusan untuk menarik diri daripada mengendalikan kes membabitkan Mikhail dan dia juga gagal mendedahkan hubungannya dengan suspek.
Jabatan polis Omsk memaklumkan, Madina kemungkinan akan didakwa atas kesalahan menyalahgunakan kewibawaan dan kuasanya sebagai seorang detektif kerana membantu seorang suspek penjenayah. Jika sabit kesalahan, Madina akan dilucutkan jawatan dan pihak atasannya juga boleh dihukum kerana membiarkan wanita itu menjalin hubungan dengan suspek.
Sumber: Wio News