Seorang ibu dipercayai mengalami kemurungan bertindak mengelar leher empat orang anaknya dengan pisau di kuarters sebuah pusat peranginan di Pulau Mantanani, Kota Belud.
Menerusi laporan Harian Metro, anak bongsu wanita terbabit yang berusia lapan bulan maut manakala dua kakak dan abangnya parah. Kesemua mangsa yang selamat dikejarkan ke Hospital Kota Belud bagi mendapatkan rawatan lanjut.
3 selamat namun parah
Selepas bertindak mengelar leher anak-anaknya, wanita tersebut dipercayai cuba membunuh diri namun dihalang oleh suaminya. Menurut sumber, suami kepada suspek dalam keadaan berlumuran darah meminta bantuan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 yang sedang membuat rondaan berhampiran sebuah pusat peranginan itu.
Lelaki itu dalam keadaan berlumuran darah meminta bantuan dan mengatakan bahawa empat anaknya parah dikelar di kuarters mereka.
Susulan maklumat itu, sepasukan PGA Batalion 16 bergegas ke tempat kejadian bersama lelaki berkenaan. Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati empat kanak-kanak termasuk bayi terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
Namun bayi lelaki berusia lapan bulan dipercayai sudah tidak bernyawa dengan kesan kelar dilehernya. Tiga lagi kanak-kanak parah dan turut terdapat kesan kelar di leher,” katanya, hari ini.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah mengesahkan kejadian itu dan seorang mangsa disahkan meninggal dunia.
Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Sumber: Harian Metro