Dalam diam-diam, Ahad lepas Diana Danielle, 21, telahpun melangsungkan majlis pertunangan secara tertutup bersama Farid Kamil, 31. Majlis yang hanya dihadiri oleh pihak keluarga ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi dari para peminat.
Ketika ditemui di majlis pelancaran filem animasi “Supersquad The Movie”, Diana Danielle yang hadir bersama ibunya kelihatan tenang.
“Saya tak mahu terlalu ‘excited’ atau cakap terlalu banyak. Sebab bagi saya, ini adalah satu cubaan. Saya dapat banyak nasihat dari makcik-makcik saya supaya bersabar dengan segala dugaan,” ujar Diana Danielle.
Menjelaskan mengenai cincin pertunangan mereka, Diana mengakui cincin ulangtahun ketiga percintaan mereka telah menjadi cincin pertunangan selepas masing-masing bersetuju dengan keputusan yang sama.
Sebagai seorang artis yang masih muda, Diana ketika ditanya adakah dia masih terlalu muda untuk menghadapi situasi ini, Diana menjawab, “Saya tak pernah fikir pasal umur saya, sebab saya sendiri tak rasa diri saya muda. Kalau saya buat sesuatu pun, saya akan lakukan dengan matang. Yang penting apa yang saya mahukan dalam hubungan ini, saya mahu hubungan kami sentiasa baik.”
Menjawab isu kenapa majlis pertunangannya dirahsiakan, “Bagi saya, pertunangan bukannya seperti majlis pernikahan yang harus diuar-uarkan, ini cuma majlis yang telah menjadi sebahagian adat Melayu kita.”
Diana bakal muncul dalam filem animasi terbaru keluaran Netcarbon Sdn Bhd, “Supersquad The Movie” dan akan turut sama membintangi filem animasi ini ialah Aaron Aziz sebagai Laksamana Aaron, Dafi (Kapten Danny), Radhi Khalid (Blinq), Marina Tan (Alan), Elza Irdawati (Sasha) dan Megat Sharizal (Zeeboz).
Filem ini dijangka akan ditayangkan pada Disember 2013.