Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tempoh hari memberi peringatan kepada orang awam terutamanya ibu bapa agar mendaftarkan nama anak mereka tidak melebihi 80 abjad.
Artikel Berkaitan: JPN Beri Peringatan Nama Anak Tak Boleh Lebih 80 Abjad
Kenyataan tersebut diterima baik oleh masyarakat yang rata-rata bersetuju nama yang terlalu panjang bakal menyukarkan anak itu nanti apabila mereka meningkat dewasa kelak. Terbaru, JPN berkongsi nama yang paling panjang direkodkan oleh mereka tahun lalu.
Nak panggil apa?
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, nama Princess Aura Nurr Ermily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra Mohd Sufian diiktiraf sebagai nama terpanjang pernah didaftarkan di Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) pada tahun lalu.
Memiliki 64 abjad, nama tersebut menerima pelbagai respon oleh pengguna media sosial di ruangan komen Facebook Berita Harian.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata bagi nama lelaki yang paling popular didaftarkan oleh JPN ialah Ismail iaitu sebanyak 72,157 orang dan diikuti oleh Abdullah (47,989).
Nama wanita yang popular pula ialah Fatimah sebanyak 74,605 orang, diikuti Zainab (41,450) dan Azizah (34,114).
Pada 2014, nama terpanjang yang pernah didaftarkan di Malaysia ialah Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah binti Airol Anizam.
Sumber: Berita Harian