Pelakon yang merupakan juara program Pilih Kasih, Iqbal Mazlan memaklumkan dirinya kini berdepan dengan masalah kewangan selepas menghadapi masalah hilang penglihatan sejak Mac tahun lalu.
Sehubungan itu, Iqbal memerlukan bantuan kewangan bagi membantu meringankan beban bagi kelangsungan hidupnya.
Artikel Berkaitan: Mata Iqbal Mazlan Belum Pulih, Perlu Kos RM800 Sebulan – ‘Saya Masih Tidak Dapat Melihat ..’
Iqbal rayu bantuan
Ketika ditemui OhBulan!, Iqbal atau nama sebenarnya Muhammad Iqbal Mazlan berkata, wang sumbangan yang diperlukannya itu adalah untuk membeli ubat yang bernilai RM200 selain untuk membantu meringankan beban ibu bapanya yang sudah uzur.
Sudah lebih sebulan saya tidak makan ubat rawatan Cina itu kerana kekangan kewangan sedangkan ubat itu bagus untuk rawatan dalaman.
Selain itu, wang sumbangan itu juga untuk meringankan beban kedua ibu bapa yang uzur. Bapa saya sudah berusia 75 tahun dan baru menjalani pembedahan pintasan jantung dan ibu pula bekas pesakit kanser payu dara.
Ibu bapa meniaga makanan nasi campur di tepi jalan berhampiran Maybank di Bukit Jelutong setiap Isnin hingga Khamis.
Iqbal berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Jalinan Kasih Prihatin KPJ Healthcare & mStar Baek yang diadakan di Menara KPJ, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon berusia 35 tahun ini memaklumkan bahawa dia juga memerlukan telefon bimbit baharu bagi memudahkan urusannya melakukan sesi siaran langsung di media sosial.
Menurut Iqbal, dia juga mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang sanggup meminjamkannya sedikit wang untuk membeli telefon bimbit dan berjanji akan memulangkannya semula apabila sudah mula bekerja nanti.
Mungkin, mata saya saja yang rosak tapi anggota badan yang lain masih boleh bekerja.
Saya juga mahu membeli telefon bimbit yang baharu bagi memudahkan untuk buat ‘podcast’ atau ‘live’ (siaran langsung) di media sosial. Telefon yang ada sekarang sudah lama dan tidak boleh nak buat ‘live’ di media sosial.
Saya juga boleh mengacara dan buat ‘podcast’ sendiri kerana ada banyak idea dan topik untuk dikeluarkan dari fikiran ini untuk dikongsi dalam ‘live’ itu.
Kalau ada orang yang boleh pinjamkan duit dahulu untuk saya beli telefon bimbit terpakai pun tak apa dan saya akan bayar semula bila sudah kembali bekerja.
Ketika ditanya mengenai bantuan kewangan, pelakon yang terkenal menerusi filem ‘Apa Tengok-Tengok’ ini memaklumkan dirinya berasa sangat kecewa apabila masih tidak mendapat sebarang maklum balas mengenai permohonan bantuan yang dibuatnya.
Ada kawan yang cuba hubungi pihak yayasan berkaitan artis untuk rayu bantuan kewangan untuk saya tapi tiada jawapan sampai sekarang.
Saya juga ada hubungi Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez untuk mohon bantuan tetapi masih menanti perkembangan darinya.
Terdahulu, Iqbal dimasukkan ke Hospital Shah Alam selepas berdepan dengan masalah penglihatan secara mengejut pada 5 Mac tahun lalu.
Dakwa Iqbal, dia kini hanya mampu melihat biasan cahaya pada mata sejak mengalami penyakit tersebut.