Semalam kita dikejutkan dengan berita mengenai pemergian seorang wanita berusia 32 tahun yang maut selepas motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah kereta jenis Proton Satria Neo yang dipandu remaja berusia 14 tahun.
Artikel Berkaitan: Remaja Maut Dirempuh Kereta Semasa Menunggu Di Perhentian Bas
Suami sempat ajar syahadah
Foto: Harian Metro
Memetik laporan Harian Metro, mangsa yang bernama Nur Syafiqah Abdullah menaiki motosikal terbabit bersama kakaknya Nooraliza, 43, yang kini mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat kecederaan di bahagian badan.
Sementara itu, suami kepada Syafiqah iaitu Mohamad Firdaus Roslan, tidak menyangka bahawa bunyi dentuman kuat yang kedengaran tidak jauh dari stesen minyak tempatnya bekerja merupakan kejadian yang telah meragut nyawa isterinya.
Ada remaja lelaki datang memberitahu mangsa kemalangan itu adalah isteri dan kakak ipar. Macam nak luruh jantung apabila dapat tahu. Saya bergegas ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku.
Namun saya dimaklumkan isteri tidak membawa anak ketika itu. Mereka sebenarnya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Ulu, Kuala Kedah selepas pulang dari karnival makanan di sebuah pasar raya di situ.
Pemuda berusia 34 tahun itu juga memaklumkan bahawa dia sempat membisikkan kalimah dua kalimah syahadah kepada isterinya yang masih bernyawa pada ketika itu sebelum wanita tersebut menghembuskan nafas terakhirnya di tempat kejadian.
Tambah Firdaus, kali terakhir dirinya bertemu dengan isteri kira-kira dua jam sebelum berlakunya kemalangan.
Waktu itu saya pulang ke rumah untuk makan dan saya sempat berbual dengan isteri sambil bergurau.
Tak sangka itu kali terakhir kami berbual mesra sebelum dia pergi buat selamanya meninggal saya dan anak yang masih kecil.
Dalam pada itu, Firdaus berkata bahawa dia dan keluarga reda dengan kejadian ini namun bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap keluarga remaja perempuan yang memandu kereta berkenaan.
Menurutnya, mereka tidak sepatutnya memberikan kebenaran kepada remaja yang masih di bawah umur untuk memandu kereta tanpa lesen sehingga mengakibatkan nyawa isterinya melayang.
Sumber: Harian Metro