Penyanyi dan komposer, Ajai mendedahkan dia sama sekali tidak mempunyai sebarang masalah dengan penyanyi, Hafiz Hamidun.
Ia berhubung insiden Hafiz yang enggan menerima serta menyanyikan beberapa karya pemberian Ajai beberapa tahun yang lalu.
Artikel Berkaitan: ‘Ataupun Awak Pengsan Lagi Best’ – Kritikan ‘Pedas’ Ajai Dalam Big Stage 2020 Undang Kontroversi
Profesional jalankan tugas
Ketika ditemui OhBulan!, Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal bin Maas mengatakan meskipun mempunyai perselisihan faham, dia tetap menjurikan Hafiz dengan sangat profesional sewaktu menjadi juri bagi sebuah program di stesen tv swasta sebelum ini.
Saya tiada masalah malah bila saya menjurikan dia (Hafiz) dalam program berkenaan, saya sangat profesional.
Saya tolak tepi masalah dalaman ke apa ke. Pada saya talent comes first, sebab pada saya mungkin waktu itu, adanya masalah dari pihak pengurusan.
Takkan kerana dia berbakat, saya nak tolak tepi bakatnya itu hanya kerana ada benda-benda hal peribadi dengan saya.
Jadi saya tak ketengahkan benda tu malah saya tak uar-uarkan pun mengenai perkara ini.
Ajai berkongsi perkara tersebut pada malam final Konsert Big Stage 2023 yang diadakan di Dewan Auditorium MBSA pada malam Ahad.
Dalam pada itu, pelantun lagu Hati Ini Telah Dilukai itu berkata, dia sama sekali tidak kecil hati dengan perkara tersebut kerana percaya pada rezeki Allah SWT.
Pada saya rezeki itu pada Allah, mungkin tak ada rezeki saya (dengan Hafiz), dan mungkin ada rezeki lain bersama orang lain.
Saya sentiasa percaya dengan rezeki, tak semestinya kalau saya tak dapat benda itu saya akan marah atau kecil hati, oh tidak.
Ajai juga tidak menolak sekiranya untuk bekerjasama dalam menghasilkan karya bersama Hafiz di masa yang akan datang.