Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat kenyataan tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan Terengganu yang akan mewajibkan pemain bola negeri itu menutup aurat ketika beraksi.
Artikel berkaitan: ‘Jangan Kacau Mereka’ – Tak Setuju Atlet Terengganu Kena Tutup Aurat, Syed Saddiq Dikritik
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi respon terhadap pendirian Syed Saddiq itu ketika ditemui media, malam tadi.
England dan Perancis pun tak halang amalkan agama
Abdul Hadi berkata dia tidak melihat ada masalah untuk arahan pemakaian menutup aurat bagi atlet bola sepak dilaksanakan.
Tambahnya lagi, kelab bola sepak seperti England dan Perancis tidak menghalang pemain untuk mengamalkan ajaran agama. Jadi, menteri itu tidak sepatutnya ‘berlebih-lebihan’.
Setahu saya kelab bola sepak England dan Perancis membenarkan pemain Islam mengamalkan ajaran agama. Jangan dia (Syed Saddiq) lebih daripada England dan Perancis sudahlah.
Dilaksana beransur
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dasar pelaksanaan patuh syariah itu bagaimanapun hanya terpakai kepada pemain bola sepak beragama Islam sahaja.
Kita akan pastikan semua pemain memakai pakaian yang menutup aurat dalam semua perlawanan sama ada di Terengganu atau di luar sementara pemain yang bukan beragama Islam, kita hanya galakkan mereka untuk mengikuti jejak pemain beragama Islam.
Bagaimanapun, arahan itu akan dibuat secara beransur dan tidak mendadak membabitkan semua atlet.
Dari sudut pelaksanaan, kita akan lakukannya secara beransur-ansur dan bukan dengan perubahan drastik yang melibatkan keseluruhan (semua atlet).
Sumber: Sinar Harian, Kosmo!