Nampaknya isu mengenai perlakuan kurang sopan beberapa remaja perempuan bertudung semasa konsert kumpulan K-POP masih hangat diperkatakan sehingga hari ini. Insiden yang boleh dianggap melanggar norma budaya tempatan itu mengundang pelbagai reaksi berbeza masyarakat.
Artikel Berkaitan: Gadis Melayu Dipeluk & Dicium Penyanyi K-POP : Salah Siapa?
Terbaru, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memberi tempoh seminggu kepada beberapa remaja bertudung terbabit bermula hari ini untuk tampil memberi keterangan.
Sila Tampil Beri Kerjasama
Menurut Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya, jika remaja berkenaan tidak tampil memberikan kerjasama, waran tangkap melalui perintah mahkamah akan dikeluarkan. Langkah ini diambil bagi membolehkan kontroversi berkenaan diselesaikan dengan seberapa segera.
Kes tersebut akan dihadapkan ke mahkamah dan sebarang hukuman atau denda ditentukan oleh badan itu setelah perbicaraan dilakukan.
Seperti kes-kes terdahulu, kebiasaannya pihak mahkamah akan menghantar mereka yang disabitkan dengan kesalahan untuk menghadiri sesi kaunseling bersama Jawi.
Pada masa yang sama, Paimuzi Yahya turut mengambil kesempatan menasihati remaja agar berhati-hati semasa berhibur agar tidak terjebak dengan gejala negatif
Hukuman Denda Dan Penjara?
Isu yang terus menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat ini terus menjadi viral apabila pihak Jawi bertindak membuka kertas siasatan bawah Seksyen 29 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1977 (Akta 599) Perbuatan Tidak Sopan Di Tempat Awam.
Menurut Jawi, jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Bagaimanapun perkara ini mendapat reaksi berbeza daripada beberapa individu seperti Ustaz Kazim Elias dan Abby Abadi.
Menurut Ustaz Kazim, pencegahan perilaku kurang sopan bukan sahaja tertumpu kepada konsert K-POP tetapi juga dalam drama dan filem yang dianggap secara terang-terangan berpegangan tangan bercium.
Abby Abadi turut tampil dengan pendapat yang sama, menganggap industri seni negara terutamanya filem secara terang-terangan memaparkan maksiat. Malah Abby mempersoalkan tindakan yang dikenakan terhadap peminat tersebut.
Bukan Salah K-POP – Freddie Fernandez
Bercakap kepada Harian Metro, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez tidak bersetuju sekiranya kumpulan K-POP diharamkan bagi memasuki Malaysia malah menganggap ianya keterlaluan.
Kalau sampai mengharamkan itu memang tidak wajar sama sekali. Hakikatnya, ia sangat keterlaluan jika sampai ke tahap itu. Sebaliknya, setiap penganjur yang seharusnya berusaha untuk elak melakukan kecuaian sedemikian menjadikan apa yang berlaku sebagai satu iktibar.
Artis itu tidak bersalah. Mereka cuma menurut saja apa yang sudah ditetapkan dalam acara itu dan mereka semestinya kurang arif dengan budaya di negara orang.
Budaya mereka di sana mungkin memang berbeza namun di sini masih banyak nilai serta limitasi yang perlu dititikberatkan. Bagi mereka mungkin tiada masalah kalau di negara sendiri, tetapi di sini memang berlainan.
Menurut Freddie, penganjur sama ada dalam atau luar negara perlu benar-benar meneliti setiap garis panduan bagi menggelakkan sebarang tindakan diambil pada kemudian hari.