Baru-baru ini, kecoh di laman media sosial apabila seorang influencer yang juga pakar motivasi mengeluarkan kenyataan mengaitkan kecurangan seorang individu itu sebenarnya kerana keizinan Allah. Kenyataan tersebut bagaimanapun telah mengundang rasa kurang senang ramai pihak.
Artikel berkaitan: ‘Dia Curang Dengan Izin Allah’ – Pejabat Mufti Akan Teliti Isu Melibatkan Influencer
Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tampil memberi keterangan dan pemahaman buat masyarakat terhadap perkara ini.
Tidak boleh menisbahkan kepadaNya
Memetik penjelasan dari portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengulas perkara tersebut dengan berpandukan beberapa hadis. Jelas pejabat mufti, perbuatan menisbah kejahatan, keburukan dan maksiat yang dilakukan kepada Allah SWT ialah perbuatan yang tidak beradab terhadapNya. Ya, Allah SWT menciptakan semua perkara termasuk semua keburukan dan kejahatan, namun sebagai adab terhadap Allah SWT kita tidak boleh menisbahkan kepadaNya kecuali perkara-perkara yang baik sahaja.
Perlu dielakkan
Selain itu, ucapan ‘saya melakukan maksiat ini dengan izin Allah SWT’ tidak melazimi bahawa Allah SWT redha terhadap perbuatan maksiat tersebut. Ini kerana kehendak (iradah) Allah SWT tidak melazimi keredhaanNya. Oleh itu, sesiapa yang melakukan maksiat dengan pilihan dan kehendaknya sendiri, maka dia mendapat kemurkaan Allah SWT. Ucapan sebegini tidak sepatutnya disebut dan malah perlu dielakkan, apatah lagi jika diniatkan untuk menghalalkan perbuatan maksiat dilakukan oleh seseorang.