Bagi yang masih tertanya-tanya dan berspekulasi tentang punca Ashraf Muslim berkahwin dengan isteri keduanya, selebriti berusia 32 tahun ini semalam akhirnya tampil dihadapan para media untuk menjelaskan perkara sebenar.
Untuk pengetahuan, Ashraf telah selamat menikahi Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29, pada 7 Julai lepas di Selatan Thailand. Namun, tindakannya ini bukan saja telah mengundang kontroversi malah pelbagai tohmahan dan cacian telah dilemparkan oleh peminat kepadanya.
Ashraf dalam kenyataannya kepada mStar Online memberitahu bahawa perkahwinannya dengan isteri kedua, Sakinah, tidak ada kena mengena dengan isunya yang masih belum mempunyai anak bersama isteri pertama, Dayana.
“Saya berkahwin dengan Sakinah kerana memang hati saya terdetik untuk menikahi dia dan bukan kerana alasan zuriat.
“Saya mengenali Sakinah sudah lama tapi kami hanya berkawan sebelum saya berkahwin dengan Dayana lagi. Saya bukan manusia sempurna.”
Artikel Berkaitan :
Ashraf turut menambah bahawa dia sudah pun meminta pendapat dari semua pihak yang berkaitan sebelum mengambil keputusan untuk berpoligami.
“Saya tahu ia sesuatu yang sukar terutama sekali untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak.
“Saya sudah minta pendapat kepada semua pihak termasuk keluarga saya, memang ada yang tidak setuju tapi ini adalah keputusan yang saya buat.”
Ashraf Muslim bersama isteri pertama, Noor Dayana Lokman
Dalam pada itu, Ashraf yang juga seorang pengamal perubatan Islam memberitahu bahawa dia kini sedang dalam proses untuk menjernihkan suasana.
“Sekarang saya dalam proses untuk memujuk kedua-dua belah keluarga dan tenangkan keadaan. Namun keadaan di luar masih belum tenang.
“Dayana pun dalam proses untuk menerima keadaan, begitu juga Sakinah yang banyak terima kecaman daripada orang luar. Saya hanya nasihatkan mereka agar banyak bersabar dan ikut cakap saya.”
Ashraf Muslim sebelum ini telah melangsungkan perkahwinan dengan Noor Dayana Lokman, 26, pada 30 Ogos 2011 di Mekah. Bagaimanapun, selebriti ini secara tiba-tiba menggemparkan dunia hiburan apabila berita dia bernikah dengan isteri kedua iaitu Sakinah tersebar di internet.