berita

Kanak-Kanak Perempuan Melecur Separuh Badan Main Bunga Api

April 13th, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Gambar sekadar hiasan

Gara-gara bermain bunga api, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun melecur sebahagian badan selepas dipercayai disambar api di Kampung Senara, Kubur Panjang pada malam kelmarin.

Artikel Berkaitan: Remaja 13 Tahun Jadi Mangsa Pertama Main Mercun

Melecur hampir 50 peratus

Memetik laporan Utusan, mangsa, Nur Zatil Hidayah Mohd. Tarmizi, 4, melecur kira-kira 46 peratus pada anggota badannya ketika bermain bunga api bersama dua orang abangnya yang berusia tujuh dan 10 tahun di hadapan rumah.

Menurut Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah, difahamkan ketika kejadian, ibu bapa kepada mangsa berada di dalam rumah dan sedang menonton televisyen.

Tiba-tiba pasangan suami isteri itu dikejutkan dengan jeritan mangsa dan berlari keluar sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang cuba memadam api yang membakar tubuh mangsa.

Melihat kejadian itu, bapa mangsa terus menjiruskan sebaldi air ke arah mangsa sebelum membawa anaknya itu untuk mendapatkan rawatan di Hospital Pendang.

Kita masih menjalankan siasatan berikutan bapa mangsa mendakwa anak perempuannya itu disyaki terbakar selepas disambar api daripada pelita minyak tanah ketika ingin menyalakan bunga api.

Kejadian sebenar hanya akan diketahui selepas kita merakam keterangan dua abang mangsa kerana buat masa ini mereka masih dalam keadaan trauma dengan insiden yang berlaku.

Ketika ini, pihak hospital masih lagi sedang menyiasat sumber berlakunya kebakaran itu dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu ibu bapa atau penjaga mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.

Artikel asal daripada Utusan Malaysia. Ikuti berita terkini dalam dan luar negara di portal Utusan Malaysia

SKIP THIS AD ×