Isteri kepada pelakon, Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada berasa hairan dengan tindakannya suaminya yang secara tiba-tiba memuat naik gambar dan video anak-anak mereka secara pukal di Instagram aktor itu baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: Hafidz Roshdi Sihat & Waras, Perbicaraan Boleh Diteruskan
Artikel Berkaitan: [VIDEO] 3 Bulan ‘Terpisah’, Rindu Hafidz Roshdi Terubat Lepas Jumpa Anak-Anak
Instagram anak-anak
Ketika ditemui Oh Bulan!, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, mempersoalkan mengapa suaminya itu berbuat demikian, sedangkan selama mereka melayari bahtera rumah tangga, aktor itu jarang sekali berkongsi mengenai kisah anak mereka di laman sosial.
Malah, ibu kepada dua cahaya mata itu turut tertanya tujuan sebenar Hafidz menubuhkan akaun Instagram rasmi untuk kedua anak mereka.
Allahuakbar, agaknya dia mahu saya memberi reaksi di atas tindakannnya itu. Sebelum ini (tempoh perkahwinan) tiada pula nak buat.
Sepanjang tempoh yang panjang sebelum ini tiada pula dia nak post gambar anak-anak. Selama anak dia hidup, dia tak pernah ambil tahu pasal Instagram.
Kenapa tiba-tiba nak ada Instagram untuk anak-anak pula?
Shuhada berkata demikian ketika ditemui usai prosiding tuntutan hadanah yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pada Isnin.
Terdahulu, Hafidz memuat naik beberapa video dan gambar bersama anak-anaknya iaitu Humairah dan Umar di Instagram miliknya. Malah, Hafidz turut meluahkan rasa rindunya terhadap kedua-dua anaknya itu.
Dalam prosiding yang berlaku semalam, keputusan hadanah tidak berpihak kepada Shuhada apabila Hafidz secara tiba-tiba berubah fikiran disaat akhir.
Difahamkan, Hafidz pada awalnya telah bersetuju untuk memberikan hak penjagaan penuh kepada Shuhada, namun selepas aktor itu berbincang dengan peguam yang mewakilinnya, lantas dia berubah fikiran. Sebutan disambung pada 12 September depan.
Sebelum ini, Nurul Shuhada memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Februari yang lalu.
Bagaimanapun, lafaz cerai yang sepatutnya berlaku pada 21 Mac lalu gagal dilaksanakan selepas mahkamah mendapati ada isu baharu berhubung isu lafaz cerai pasangan tersebut.
Dalam pada itu, Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, jam 3.30 pagi pada 2 Mac lalu.
Berdasarkan pertuduhan, pelakon itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada, 29, dengan menumbuk menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga isterinya mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.
Imbas kembali, Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.
Dalam perkembangan sama, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu memerintahkan untuk Hafidz dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikitiari.
Namun, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan ke atasnya layak dibicarakan selepas dimaklumkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru pada 9 Jun yang lalu.