berita

Kereta Ditembak Guna Machine Gun, Kerajaan Malaysia Disaman, Kes Kematian Remaja 15 Tahun Ini Terus Diingati

September 7th, 2020 | by Amat
Kini Trending

Kes tembakan seorang anggota polis ke arah seorang remaja lelaki berusia 15 tahun iaitu Aminul Rasyid pernah menggemparkan Malaysia. Kes yang dipercayai terjadi pada sekitar April 2010 ini mengambil masa selama lapan tahun untuk diselesaikan di makhamah, setelah keluarga mangsa Aminul Rasyid nekad menuntut keadilan.

Insiden dipercayai ketika mangsa bersama rakannya iaitu Azamuddin Omar memandu sebuah kenderaan jenis Proton Iswara tanpa lesen memandu. Kejadian berlaku di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 pada jam 1.10 pagi itu menyaksikan mangsa memandu laju melepasi sekatan jalan raya (roadblock) sebelum dikejar peronda polis.

Kronologi polis lepaskan 21 tembakan

Menurut sumber, mangsa Aminul Rasyid ketika itu berusia 15 tahun bersama rakannya Azamuddin Omar memandu kenderaan milik ibunya pada waktu malam. Mangsa memandu kenderaan tersebut tanpa pengetahuan keluarga dan didapati tiada lesen memandu.

Setelah terlihat sekatan jalan raya yang dilakukan anggota polis pada malam tersebut, mangsa panik dan meloloskan diri dengan memandu laju sebelum dikejar pihak polis. Enggan dengan arahan pihak berkuasa, Koperal Jenain Subi didakwa telah melepaskan 21 das tembakan ke arah kenderaan tersebut dan tembakan terkena juga pada kepala mangsa.

Kepala mangsa rebah di pangkuan paha rakannya, Azamuddin sebelum kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terlanggar pokok.

Aminul Rasyid memandu dengan laju kerana dia dalam ketakutan dan rasa bersalah kepada keluarganya kerana dia telah melakukan kesalahan besar iaitu memandu kereta tanpa kebenaran ibunya. Saya beri cadangan supaya dia berhenti untuk berbincang dengan polis tetapi dia diam sahaja dan terus pandu kereta

Tembakan sub-machine gun

Insiden ini menimbulkan rasa tidak puas hati dari keluarga mangsa kerana disifatkan tidak adil. Keluarga mangsa menyifatkan tindakan Koperal Jenain itu tidak sewajarnya untuk melepaskan tembakan tepat ke arah kepala mangsa. Sehubungan itu, keluarga Aminul Rasyid memfailkan ganti rugi dan saman malu susulan kematian anak lelaki mereka.

Menerusi laporan posiding di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 12 Oktober 2010 dipercayai Jenain terlihat kereta itu dipandu dalam keadaan yang terlalu laju, secara melulu dan melanggar lampu isyarat. Dia ketika itu hanya memberi arahan untuk mangsa memberhentikan kereta.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen iaitu Latifah Mohd Tahar berkata mahkamah mendapati tidak ada keperluan untuk tertuduh melepaskan 21 das tembakan ke arah kereta terbabit dan tidak mendatangkan bahaya kepada kereta peronda mahupun tertuduh pada malam kejadian.

Sebagai seorang anggota polis, tertuduh seharusnya maklum bahawa tembakan menerusi senjata sub-machine gun adalah berbahaya dan boleh membawa kepada kematian kerana peluru yang keluar adalah berterusan. Penggunaan senjata api hendaklah dalam keadaan yang munasabah dan bertindak sebagai prosedur standart yang tidak boleh mengatasi undang-undang.

Pada waktu kejadian, tertuduh tidak mengetahui pemandu di dalam kereta tersebut hanya seorang remaja.

Keterangan saksi kejadian

Sementara itu, menurut saksi kejadian iaitu Konstabel Mohd Izham Mahayadin melaporkan telah memberi arahan untuk mangsa memberhentikan kenderaan. Namun, mangsa enggan dan meningkatkan kelajuan. Mangsa juga dipercayai bertindak menghimpit kereta peronda polis sehingga hampir terbabas di tepi jalan.

Saya telah keluarkan arahan melalui mikrofon di kereta peronda kira-kira tiga kali supaya pemandu kereta Iswara itu perlahankan kereta dan berhenti di tepi jalan tetapi tidak ada tanda untuk berhenti malah nampak semakin laju.

Ketika kereta peronda saya berada di belah kanan kereta Iswara itu, saya telah keluarkan separuh badan saya dan lepaskan tembakan ke arah tayar kanan belakang kereta itu.

Saya tidak pasti berapa das tembakan saya lepaskan tetapi selepas saya pulangkan semula senjata kepada stor persenjataan barulah saya dimaklumkan 10 butir peluru telah digunakan semasa tembakan itu.

Konstabel Mohd Izham mendakwa terlihat sebilah parang yang terletak di bahagian tempat duduk penumpang di sebelah kiri. Sehubungan itu, peguam Salim Bashir, yang mewakili Jenain menyifatkan polis mungkin mempunyai andaian bahawa kedua-dua remaja lelaki itu adalah penyamun berdasarkan kepada tindakan mangsa lari daripada polis dan penemuan parang dalam kereta Iswara tersebut.

Keluarga fail saman sivil

Sementara itu, ibu kepada mangsa iaitu Norsiah Mohammad dan kakak sulung, Nor Azura selaku plaintif menamakan Jenain, bekas Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Keluarga mangsa telah memfailkan saman sivil bagi menuntut ganti rugi hampir RM50 juta atas dakwaan kematian Aminul Rasyid akibat luka tembakan di kepala berpunca daripada kecuaian Koperal Jenain.

Kerajaan dan polis mengemukakan permohonan kebenaran untuk merayu bagi mengurangkan jumlah ganti rugi yang dibayar kepada keluarga mangsa daripada RM114,800 kepada RM14,800 sahaja setelah dikemukakan beberapa rayuan dibuat tertuduh.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan ganti rugi sebanyak RM414,800 dibayar kepada keluarga mangsa bagaimanapun Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah itu kepada RM114,800.

Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Jenain selepas mendapatinya bersalah terhadap tuduhan itu. Susulan itu, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebi memutuskan menerima rayuan Koperal Jenain terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan keatasnya oleh Mahkamah Sesyen pada September 2011.

Koperal Jenain disahkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada 17 Jun 2020. Dia meninggal dunia di hadapan sebuah kedai serbaneka di Shah Alam ketika hendak membeli makanan kucing.

Sumber: Astro Awani, BH Online, mstar, MalaysiaKini

SKIP THIS AD ×