berita

Kerjasama Yayasan Peneraju Dan AICB Lahirkan Ramai Jurubank Bertauliah Bumiputera

November 26th, 2021 | by Wan
Kini Trending

Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) untuk bekerjasama dalam membuka laluan kepada lebih ramai bakat Bumiputera untuk menjadi jurubank bertauliah (Chartered Banker).

MoU itu ditandatangani oleh Kol. Bersekutu (PA) Ts Mohd Muzzammil Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Peneraju dan Encik Edward Ling, Ketua Eksekutif AICB. Ia disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid dan Tan Sri Azman Hashim, FCB , Pengerusi AICB

Galak penyertaan Bumiputera

Di bawah kolaborasi itu, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membangunkan saluran yang mampan bagi jurubank bertauliah Bumiputera melalui program Peneraju Profesional Chartered Banker. Setakat kini, seramai 25 peserta sedang mengikuti program tersebut.

Selain daripada kelayakan Chartered Banker, Yayasan Peneraju menyasarkan untuk mendaftarkan 400 profesional untuk pelbagai pensijilan di bawah Perkhidmatan Kewangan & Perniagaan pada 2022, termasuk Certified Internal Auditor (CIA), Chartered Financial Analyst (CFA), Certified Shariah Practitioner (CSP), dan Certified Shariah Auditor (CSA).

Datuk Mastura berkata, Yayasan Peneraju telah memperluaskan pensijilan profesional yang ditawarkan di bawah teras Peneraju Profesional untuk menggalakkan penyertaan bakat Bumiputera dalam industri dan kerjaya yang relevan. Ini adalah untuk memastikan tenaga kerja Malaysia yang baru memasuki pasaran kerja mampu memenuhi keperluan organisasi, yang terus berkembang hasil daripada inovasi digital, integrasi serantau dan peralihan demografi pelanggan.

Sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, matlamat utama Yayasan Peneraju adalah untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui program pembiayaan akademik, TVET, profesional, teknologi dan pensijilan spesialis.

Tambah beliau lagi, bilangan tenaga kerja Bumiputera yang diperakui sebagai jurubank bertauliah masih rendah jika dibandingkan dengan pertumbuhan berterusan dan permintaan sektor itu. Oleh sebab itu, sememangnya terdapat keperluan untuk penglibatan lebih ramai profesional Bumiputera dalam sektor kewangan dan perbankan untuk menangani jurang itu.

Selari keperluan industri

Pengerusi Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Tan Sri Azman Hashim, berkata pemeteraian MoU ini menandakan komitmen kukuh Yayasan Peneraju dan AICB untuk membina saluran mampan bakat Bumiputera dengan kemahiran dan keupayaan yang selari dengan keperluan industri melalui program Chartered Banker dan melengkapkan bakat Bumiputera kita dengan kelayakan perbankan profesional yang diiktiraf di peringkat global dan jawatan profesional berprestij untuk terus maju dalam persekitaran perbankan global yang sentiasa berkembang.

Dalam tempoh sembilan tahun sejak penubuhannya, Yayasan Peneraju telah berjaya melaksanakan pelbagai program pembiayaan meliputi program pembiayaan akademik, TVET, profesional, teknologi dan pensijilan spesialis, termasuk program perbankan dan kewangan yang sesuai dengan semua golongan Bumiputera bermula daripada lepasan SPM hingga pelajar universiti serta profesional yang bekerja dan menganggur.

SKIP THIS AD ×