berita

KPDNHEP Beri Amaran Peniaga Jangan Naikkan Harga Topeng Muka, Sarawak Catat IPU Sangat Berbahaya 367

September 17th, 2019 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan masyarakat supaya peka dengan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing pada musim jerebu ini. Pelbagai langkah-langkah pencegahan telahpun dikongsikan agar setiap individu mampu menjaga kesihatan diri. Antara langkah utama yang dikongsikan ialah memakai topeng muka ketika berada di kawasan terbuka.

Menerusi laporan Harian Metro, tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga topeng muka, sepanjang musim jerebu ini. Tindakan ini berikutan, permintaan terhadap topeng muka itu semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.

78 premis perniagaan sudah diperiksa

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah, tiada sebarang notis atau kompaun dikeluarkan setakat ini kepada para peniaga. Tambahnya, pihaknya sudah menjalankan pemeriksaan terhadap 78 premis yang menjual topeng muka termasuk farmasi dan kedai runcit.

Sehingga kini, terdapat 78 premis perniagaan yang menjual topeng muka termasuk farmasi dan kedai runcit sudah diperiksa namun kita tidak mengesan sebarang kenaikan harga. Harga runcit bagi topeng muka yang digunakan untuk perubatan atau pembedahan ditetapkan di antara 20 sen hingga 80 sen seunit di mana perbezaan harga itu bergantung pada lapisan topeng muka berkenaan. Bagi topeng muka N95 pula bernilai RM6 seunit.

Boleh buat aduan

Menurut Zikril, masyarakat boleh membuat aduan kepada pihaknya sekiranya peniaga menjual topeng muka dengan harga yang mahal.

Pihak kami akan sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan berkala terutama di premis berkaitan dalam memastikan peniaga mematuhi syarat yang ditetapkan. Orang ramai yang mempunyai maklumat peniaga yang menjual topeng muka itu dengan harga yang mahal boleh menyalurkan aduan kepada pihak kami untuk tindakan selanjutnya.

Tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang menaikkan harga secara tidak munasabah, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sarawak catat IPU sangat bahaya

Terbaru, menerusi laporan Sinar Harian, kawasan Sri Aman di Sarawak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap berbahaya apabila mencapai bacaan 367 pagi ini. Menerusi laman web rasmi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar, skala bacaan IPU di kawasan Kuching kekal berada pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 220. Manakala, lain-lain kawasan berada pada tahap tidak sihat iaitu Samarahan (159), Sarikei (149), Sibu (168), Bintulu (129), Mukah (141) dan Samalaju (113).

Di Selangor, kawasan Johan Setia turut mencatatkan skala bacaan sangat tidak sihat iaitu pada 233 pada jam yang sama. Jabatan Pendidikan Negeri turut memberitahu bahawa sebanyak 298 sekolah  ditutup hari ini, selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan melebihi 200.

Sumber: Harian Metro & Sinar Harian

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Content Champion at Rev Asia Berhad
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.