Sejak ditayangkan di TV3 bermula 10 Julai lalu, drama Ayahanda berjaya menambat hati penonton stesen TV tersebut. Lebih manis, drama penuh air mata itu mencipta sejarah tersendiri apabila meraih lebih 2.5 juta tontonan pada episod pertama!
Drama terbitan Zeel Production Sdn Bhd itu menampilkan gabungan pelakon veteran dan pelakon baru antaranya Jalil Hamid Fauziah Ahmad Daud, Fikry Ibrahim, Noorkhiriah, Shahz Jasle, Hairi Safwan, Rita Nadira, Sherry Ibrahim dan Mimi Ernida.
Meruntun jiwa
Selain plot cerita yang menarik dan meruntun jiwa, pemilihan lagu soundtrack yang sesuai juga memainkan peranan penting. Ternyata percaturan pihak produksi memilih lagu Coretan Pilu nyanyian lagenda muzik Rock Malaysia, Dato’ Awie sangat tepat dan membuatkan drama Ayahanda sentiasa dinantikan.
Gabungan karyawan komposer dan penulis lirik muda iaitu Ikhwan Fatana, Wan Salleh dan Fedtri Yahya, lagu Coretan Pilu ini mengisahkan tentang seorang ayah yang rindukan belaian kasih sayang anak-anaknya. Bait-bait lirik yang diilhamkan oleh dua karyawan muda ini dilihat dapat mencengkam perasaan penonton apatah lagi apabila melihat lakonan hebat seperti Jalil Hamid, Ogy Ahmad Daud dan Fikry Ibrahim.
Coretan Pilu edaran MonkeyBone ini telah dilancarkan di semua platform digital secara serentak mulai 9 Julai ini di Spotify, Apple Music, Itunes, KKBOX, Deezer, Joox dan Youtube Music. Audio Video Rasmi Coretan Pilu juga sudah boleh di tonton di laman Youtube MonkeyBone.
Jangan lupa saksikan drama Ayahanda arahan Datuk Ahmad Tamimi Siregar setiap Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam di slot Lestary TV3. Drama Ayahanda akan berakhir pada 31 Julai ini.