berita

Larangan Wanita Bertudung Bekerja Di Meja Depan Hotel, Polisi Antarabangsa Atau Diskriminasi? Ini Jawapannya

November 13th, 2017 | by Wan
Isu & Kontroversi

Baru-baru ini, heboh di ruangan maya isu polisi antarabangsa yang melarang wanita bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk). Berikutan isu ini, ramai yang memperdebatkan bahawa polisi yang didakwa ini lebih kepada bersifat diskriminasi dan tiadanya standard operasi (SOP) antarabangsa yang menghalang wanita beragama Islam untuk mengenakan hijab.

Sementara ia masih lagi hangat dibicarakan, kami di OhBulan! telah mengumpul kenyataan daripada beberapa pihak bagi memberikan suatu pandangan yang menyeluruh serta kefahaman yang lebih baik kepada pembaca mengenai isu ini.

‘Polisi & SOP hotel seluruh dunia’

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Cheah Swee Hee menegaskan ia adalah sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya sesuatu yang mendiskriminasi wanita bertudung. Jelas beliau, setiap hotel antarabangsa di Malaysia hanya mengikut SOP dan polisi syarikat yang ditetapkan.

Kita tidak boleh gunakan ayat diskriminasi (isu larangan tudung). Ia kerana syarikat ada polisi masing-masing. Jadi, ada banyak hotel juga menerima mereka yang berhijab.

Ia lebih kepada polisi dan SOP yang digunakan hotel di seluruh dunia. Ia bukan (Islamicphobia) kerana sudah dibuat sejak awal lagi. Jadi, mereka ada SOP.

Walau bagaimanapun, kenyataannya itu telah menerima reaksi berbeza dari Naib Presiden, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

‘Tarik balik lesen hotel’

Nurul Izzah Anwar telah bertindak balas terhadap isu itu dengan mendesak kerajaan, khususnya Kementerian Pelancongan menarik balik lesen hotel antarabangsa di Malaysia yang mengamalkan polisi sedemikian. Memetik laporan Astro Awani, Izzah berkata kerajaan sewajarnya bertindak tegas dalam menangani perkara ini bagi memastikan tiada syarikat yang melaksanakan polisi bersifat ‘diskriminasi’ yang boleh memecah belahkan rakyat beragama.

Jika sememangnya larangan pekerja bertudung merupakan polisi syarikat terutamanya hotel antarabangsa, kementerian pelacongan harus mempertimbangkan untuk menarik kembali lesen mereka untuk beroperasi.

Berkongsi sentimen yang sama adalah Pengerusi Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA).

‘Larangan ini sebenarnya satu diskriminasi’

Azril Mohd Amin yang membidas kenyataan yang dibuat Presiden Cheah Swee Hee. Dalam satu kenyataan rasmi MACSA hari ini, Azril berkatanya tiadanya SOP antarabangsa yang melarang wanita Islam bertudung sambil mengkategorikan larangan ini sebagai suatu bentuk diskriminasi.

Semua pelancong antarabangsa tahu bahawa dakwaan Cheah Swee Hee tidak benar. Ini kerana pekerja hotel di seluruh dunia dibenarkan memakai tudung; (hotel-hotel di) Negara Teluk, Turki, Indonesia, UK, US tidak mengenakan sebarang sekatan kepada pekerja hotel mereka untuk memakai pakaian yang diwajibkan dalam agama mereka, begitu juga halnya di kebanyakan hotel di Malaysia.

Tambahnya kepada Menara.my, polisi ini hanya mencerminkan sikap prejudis dan tidak bertoleransi dengan budaya yang boleh menggoyahkan kedudukan Malaysia sebagai negara berbilang bangsa dan agama.

Kita sememangnya bersetuju bahawa majikan mempunyai hak untuk menetapkan kod pemakaian pekerja – dan sehingga ke satu tahap melarang dari mengekspresikan sebarang bentuk ajaran agama sekiranya menimbulkan kesukaran kepada pihak majikan atau rakan sekerja atau atas dasar keselamatan; akan tetapi, sekatan-sekatan tersebut hanya boleh dibenarkan apabila benar-benar perlu.

Isu tersebut turut sampai ke perhatian Wanita Antarabangsa Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq) yang menyatakan tiadanya penjelasan yang masuk akal tentang mengapa berhijab menjadi penghalang untuk seseorang itu bekerja.

‘Tidak ada penjelasan yang munasabah’

Hanya kerana berada di sektor swasta tidak mengecualikan pihak itu daripada menghormati hak seseorang untuk mengamalkan keperluan agama mereka.

Kami mempersoalkan keperluan sekatan di Malaysia di mana umat Islam merupakan majoriti penduduk. Ini juga mencerminkan dasar kepelbagaian dan kesamaan syarikat yang teruk.

Admin sendiri rasa larangan ini memang tak masuk akal. Soalnya sekarang, betul ke tidak polisi sebegini wujud atau adakan ia sengaja diciptakan untuk menimbulkan diskriminasi? Persoalan ini timbil kerana mengikut laporan The Malaysian Insight, walaupun Presiden Cheah akui adanya larangan sedemikian di hotel-hotel di Malaysia, namun beliau tidak mempunyai bukti data mengenainya.

Sumber: The Malaysian Insight, Menara.my, Astro Awani

SKIP THIS AD ×