Sebelum ini pendakwah bebas iaitu Da’i Wan Dazrin dan PU Syed pernah mengeluarkan pendapat masing-masing mengenai Lathi Challenge yang menjadi trend dalam masyarakat. Terbaru, Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Dr Luqman Abdullah menerusi laporan Metro mengetengahkan pendapat peribadinya dan menasihati umat Islam agar tidak terikut dengan cabaran berbentuk pemujaan dan ritual itu.
Menyerupai hantu yang mengerikan
Dr Luqman Abdullah mengeluarkan pandangannya mengenai trend itu yang semakin mendapat perhatian masyarakat terutamanya penganut agama Islam.
Setakat maklumat yang kami dapati, Cabaran Lathi ini pada mulanya dipopularkan oleh Jharna Bhagwani di aplikasi TikTok, kemudian ia tular di media sosial dan ramai menyahut cabaran itu.
Cabaran di mana pelaku akan mengenakan pakaian ala-ala tradisional nusantara (Jawa) dengan menari mengikut alunan lagu, lalu tiba-tiba menukar wajah dan pakaian mereka menyerupai hantu yang mengerikan.
Lathi diambil daripada bahasa Jawa Kuno yang membawa maksud lidah. Ia menjadi judul sebuah single dinyanyikan Weird Genius yang berduet bersama Sara Fajira.
Haram dan berdosa
Tambahnya lagi, terdapat elemen joget dan tarian berunsur ritual mistik yang dapat kita lihat di dalam muzik video tersebut. Malah, lirik lagu itu juga mengandungi pemujaan roh dan menyeru makhluk halus.
Hukum seseorang melakukan Lathi Challenge atau Cabaran Lathi adalah haram dan berdosa. Hal bersandarkan kepada hadis dari Jarir Ibn Abdillah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa melakukan sunnah yang baik, lalu diikuti amalan itu, maka baginya pahala dan pahala orang yang mengikutinya, tidak berkurang daripada pahala mereka sedikitpun.
Barangsiapa yang melakukan perkara yang buruk, lalu diikuti amalan itu, maka baginya dosa dan dosa orang yang mengikutinya, tidak berkurang daripada dosa mereka sedikitpun. Hadis riwayat Muslim: 2675.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong daripada golongan mereka. Hadis riwayat Abu Daud: 4031.
Sumber: Metro