berita

Lebih 30 Penyanyi Popular Bakal Buat Persembahan 24 Jam Di Program Amal COVAiD #BaikSemula

August 26th, 2021 | by Wan
Kini Trending

Platform radio Media Prima Audio (MPA) yang baru sahaja membuat penjenamaan semula baru-baru ini akan melancarkan inisiatif bersama platform kumpulan Media Prima untuk mengumpul dana bagi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dengan menganjurkan Program Amal COVAiD #BaikSemula.

Persembahan 24 jam

Program yang diterajui oleh Hot FM, bersama-sama dengan Buletin FM, Fly FM dan 8 FM beserta platform Media Prima Berhad yang lain bertujuan untuk mengumpul dana untuk para petugas barisan hadapan dalam perjuangan mereka melawan COVID-19. Program ini juga bertujuan untuk memberi galakan kepada orang orang ramai supaya terus kekal duduk di rumah dan melihat persembahan sambil beramal menerusi dana yang disalurkan. Program Amal COVAiD #BaikSemula ini akan berlangsung menerusi akaun YouTube Hot FM, Hot TV pada 4 September 2021, bermula 12 tengah malam selama 24 jam.

Program Amal COVAiD #BaikSemula ini akan menampilkan lebih daripada 30 artis terkemuka tanah air yang akan membuat persembahan dari rumah mereka sendiri. Antara selebriti yang bakal membuat persembahan ialah Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Hujan, Shila Amzah, Naim Daniel, Bunkface, Syamel, Ernie, Dolla, Hael Husaini, Nabila Razali, Sufian Suhaimi, Faizal Tahir, Siti Nordiana, Tuju, Zynakal, YonnyBoii, Ara Johari dan ramai lagi. Di samping itu, program berbentuk keagamaan ataupun motivasi bersama Ustaz Elyas Ismail juga akan diselitkan bersama-sama program yang lain.

Hulur sumbangan

Orang ramai yang berminat untuk menderma boleh melakukannya melalui perbankan dalam talian atau membuat deposit ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP di nombor akaun (MAYBANK: 5141-0532-3170). Orang ramai juga boleh menghantarkan slip transaksi yang telah dibuat dengan menyatakan COVAiD dalam e-mel mereka ke [email protected] untuk mendapatkan resit rasmi. Setiap sumbangan yang diterima akan digunakan untuk membeli peralatan perubatan dan makanan serta keperluan harian untuk disalurkan kepada mereka yang terkesan dengan wabak Covid-19 ini.

Jangan lupa saksikan Program Amal COVAiD #BaikSemula di akaun YouTube Hot FM, Hot TV pada 4 September 2021, bermula 12 tengah malam selama 24 jam.

SKIP THIS AD ×