berita

Lelaki Maut, Leher Cedera Parah Terkena Mesin Pemotong Besi

December 15th, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Foto: Harian Metro

Seorang lelaki disahkan maut dengan kesan kecederaan pada bahagian leher dipercayai akibat terkena mesin pemotong besi di stor rumahnya yang terletak di Kedah pada Khamis.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Wanita Maut Ketika Sertai Acara Lari Dalam Guni

Tiada unsur jenayah

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian menimpa mangsa yang bernama Muhammad Hafizad Ibrahim.

Hasil siasatan mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan berlunjur di atas lantai berdekatan dengan mata pemotong mesin elektrik.

Ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama dua orang adiknya dan salah seorang adiknya yang berusia 14 tahun ternampak abangnya terbaring dengan luka di leher berdekatan dengan mesin pemotong besi dalam keadaan tidak sedarkan diri sewaktu hendak pergi ke stor untuk mengambil barang.

Adik bongsu mangsa lantas memaklumkan kejadian tersebut kepada kakaknya dan mendakwa bahawa tiada individu lain yang datang ke rumah mereka sebelum kejadian.

Sementara itu, bapa mangsa memaklumkan bahawa anaknya itu belum pulih sepenuhnya selepas dipercayai mengalami demam sejak empat hari lalu.

Pegawai dan anggota Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hadir ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan hanya terdapat kecederaan di bahagian leher dipercayai akibat terkena bilah pemotong besi mesin elektrik.

Pemeriksaan lanjut pada mayat juga mendapati tiada tanda-tanda pergelutan, tiada tanda kemalangan atau mangsa cuba membunuh diri.

Mayat mangsa kini dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×