berita

Livescape: Rockaway Festival Bariskan 26 Artis Bersama Soulfly

September 27th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Bagi para peminat muzik yang lebih keras atau mudah kami katakan, siapa disini peminat Soulfly, MxPx, ataupun Unearth? Ouh, anda tidak kenal band dari luar negara ini? Tak apa. Tapi, OHBULAN! pasti kenal siapa Koffin Kanser, Love Me Butch, Hujan atau mungkin, Go Gerila?

Boleh dikatakan sebagai festival muzik rock terbesar tahun ini, Rockaway Festival dengan kerjasama Livescape membawakan kita sebuah lagi festival yang menghimpunkan 27 artis termasuklah dari Singapura dan Indonesia.

Dalam sidang media yang dianjurkan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, pihak penganjur telah mengumumkan tentang berita baik bahawa Gerhana Ska Cinta dan Koffin Kanser akan turut bersama memeriahkan lagi festival muzik yang akan berlangsung di Helipad, Sepang.

“Kami amat gembira untuk memaklumkan penambahan 2 band legenda ini. Gerhana Ska Cinta akan menyambut ulangtahun ke-10 mereka di Rockaway Festival dan kami tak nafikan bahawa Koffin Kanser adalah band pembuka yang sempurna untuk Soulfly. Jadi sekarang kami ada 2 legenda heavy metal bergabung di pentas Rockaway. Inilah apa kita panggil, festival,” ujar Rahul Kukreja, Director of LIVE events.

Turut ditambah termasuklah kumpulan muzik pop punk dari AS, ‘Set Your Goals’ yang akan turut memeriahkan mainstage. Manakala kumpulan muzik dari Indonesia pula adalah ‘Pee Wee Gaskin’ dan ‘Plainsunset’ dari Singapura.

Apa yang menarik, anda tidak perlu risaukan tentang kemudahan pengangkutan untuk ke Sepang. Ini kerana pihak penganjur telah menyediakan perkhidmatan bas shuttle dari KL Sentral ke Sepang yang akan bermula seawal jam 11 pagi. Jadual pergerakan bas shuttle akan di-update di laman web rasmi Rockaway Festival nanti.

Rockaway Festival tahun ini akan berlangsung pada 20 Oktober 2012 sempena MotoGP bertempat di Helipad, Sepang. Pembeli tiket MotoGP bakal diberikan diskaun 20% untuk pembelian tiket Rockaway Festival. Untuk maklumat lanjut dan mahu membeli tiket, anda boleh masuk ke sini, Rockawayfest.com.

SKIP THIS AD ×