Sudah lumrah hidup si ibu mengandung, pasti akan mengalami alahan dan rasa tidak sedap badan di awal kehamilan.
Perkara itu turut dialami oleh pelakon genit, Liyana Jasmay yang sering muntah-muntah sepanjang mengandung selama 13 minggu ini.
Artikel berkaitan: Liyana Jasmay Bakal Bergelar Ibu Tahun Hadapan?
Selain daripada itu, Liyana juga mendedahkan tekaknya hanya boleh menerima hidangan tertentu sahaja buat masa sekarang.
Saya tak boleh makan nasi. Kalau makan juga, saya akan muntah. Roti, cekodok dan makanan berasaskan tepung pun tak boleh. Apa yang boleh dimakan adalah stik, pasta, daging dan ayam.
Disebabkan alahan dan gangguan kesihatan yang agak teruk jugalah Liyana diarahkan berehat dari lakonan oleh doktornya sehingga bersalin nanti.
Kalau boleh doktor memang suruh berhenti berlakon selama sembilan bulan. Tapi sekarang ni saya dah kurangkan aktiviti berlakon dan cuma buat kerja-kerja yang tak terlampau berat.
Kalau ada sesi fotografi pun, saya akan minta buat sekali sahaja sebab akan cepat pening. Malah, saya terpaksa mencari pelakon lain menggantikan watak saya dalam drama terbaru untuk siaran TV9 nanti.
Untuk pengetahuan anda, Liyana sepatutnya membintangi drama berjudul Ride namun watak utama itu telah digantikan dengan Elfira Loy.
Ride merupakan siri drama 13 episod yang mengisahkan tentang percintaan dan persahabatan Elana (Elfira Loy), seorang graduan undang-undang yang memiliki kafe berkonsep basikal fixie.
Dalam perkembangan lain, Liyana yang dijangka akan melahirkan bayi sulung pada bulan Mei tahun hadapan menyatakan bakal menetap di Sabah bersama suami selepas rumah baru mereka di sana siap sepenuhnya.
Disebabkan kandungan saya masih di awal trimester, doktor tak galakkan menaiki kapal terbang. Jadi dalam bulan Januari nanti baru saya boleh balik ke Sabah untuk uruskan hal rumah di sana. Kemudian saya akan balik ke semula ke KL untuk bersalin dan berpantang.
Tapi selepas habis berpantang, saya dah ada kerja yang menanti. Kiranya bila dah selesai kerja dan rumah pun dah siap, barulah saya akan duduk di Sabah dengan suami.
Apapun untuk semua pembaca OHBULAN!, di sini kami sertakan foto-foto Liyana Jasmay yang ditemui sewaktu majlis Media Prima TV Networks Screening 2014 baru-baru ini.