Semua peminat sedia maklum pelakon genit, Liyana Jasmay bakal bernikah dengan jejaka pilihan, Fathuddin Mazlan pada 2 Februari ini di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur dan majlis resepsi mereka pula akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada hari yang sama.
Menurut laporan Kosmo! Online hari ini, Liyana melahirkan rasa teruja dan tidak sabar menantikan majlis perkahwinannya serta mahukan majlis tersebut segera dilangsungkan.
“Memang saya teruja, gembira dan tidak sabar untuk menanti majlis perkahwinan saya. Kalau boleh biarlah cepat-cepat perkahwinan berlangsung. Ini kerana selagi belum tiba majlis perkahwinan, selagi itu bermacam-macam perkara saya fikirkan tentang persiapan majlis.”
“Alhamdulillah, persiapan hampir siap sepenuhnya. Tertekan itu perkara biasa untuk semua bakal pengantin tetapi saya bertuah kerana dua orang kakak saya yang telah berkahwin membantu melancarkan persiapan majlis perkahwinan saya.”
Berkongsi lebih lanjut mengenai majlis perkahwinannya, Liyana akui tidak sabar untuk belajar hidup berdikari dan menyatakan bahawa perubahan drastik bakal berlaku ke atas dirinya kelak.
“Perkahwinan bukan untuk sehari sahaja tetapi kalau boleh untuk seumur hidup. Apabila saya berkahwin dan bertukar status, bermulalah kehidupan saya pada fasa yang lain.”
“Ya, saya akui selama ini keluarga sentiasa berada di belakang saya terutamanya ibu. Perubahan akan berlaku secara automatik apabila sudah berkahwin nanti kerana waktu itu saya sudah ada tanggungjawab lain.”
“Selepas ini saya kena belajar buat semua sendiri dan saya tidak sabar untuk belajar hidup berdikari. Semasa belajar di New York, saya banyak membeli buku masakan kerana ingin belajar cara memasak juadah yang digemari tunang saya terutama masakan Itali,” ujar Liyana mengeani persediaannya untuk bergelar seorang isteri.